suria

Dayang Nurfaizah Tepis Tuduhan Enggan Promosi Lagu Kolaborasi Malique

Dayang Nurfaizah pada sidang media di Gallery Petronas, Kuala Lumput. Foto ROHAIZAT MD DARUS
KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah menepis tuduhan tidak mempromosi lagu baharu kolaborasinya dengan komposer dan penyanyi rap Malique berjudul Pejamkan Mata.

Dayang, 35, berkata, dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai artis dalam mempromosi lagu berkenaan di media tempatan.

"Itu bukan lagu saya, ia lagu Malique, namun saya tetap bercakap tentang lagu tersebut di mana-mana temuramah media. Bagaimanapun promosi sepenuhnya perlu dilakukan daripada pihak mereka sendiri.

"Kalau mereka perlukan saya untuk tujuan promosi saya anytime boleh sahaja. Pejamkan Mata sebuah lagu yang bagus dan berkualiti," ujarnya kepada mStar Online.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty ditemui pada majlis sidang media konsert amal Tapestry OF Colours 2017 yang diadakan di Gelari Petronas, Suria KLCC, di sini, pada Selasa.

Malique. Gambar dirakamkan pada 2011.
Lagu Pejamkan Mata ciptaan sepenuhnya Malique dimuatkan dalam album TKO bawah label Qarma Musiq milik Malique sendiri.

Sementara itu, ditanya sama ada dia akan menyanyikan lagu berkenaan dalam mana-mana persembahannya tanpa kehadiran Malique, Dayang berkata, ia bergantung kepada situasi.

Bagaimanapun tambahnya, dia lebih selesa jika karya berkenaan dinyanyikan bersama penyanyi sebenar lagu itu.

"Saya terima tawaran untuk menyanyi lagu itu sebab dia (Malique), saya tidak tahu macam mana nak cakazp tentang isu itu, biarlah ia bergantung kepada situasi," ujarnya.

"Proses rakaman dibuat secara berasingan dan saya tidak bertemu dengan Malique pun, cuma kami ada bercakap dalam telefon sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang konsert amal Tapestry of Colours, Dayang berkata, dia bakal menyanyikan empat buah lagu.

Dia menganggap tawaran untuk menyanyi pada konsert amal ini sebagai sebuah penghargaan daripada pihak penganjur iaitu Yayasan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Acara yang bakal disertai seramai 200 pelajar jurusan kejuruteraan dan teknologi itu akan diadakan pada 29 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas, di sini.

Tiket boleh didapati dengan harga RM106 hingga RM446 di www.mpo.com.my.
Dayang Nurfaizah, Malique

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain