KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna Nasir berkata, kehilangannya selama kira-kria setahun kerana mahu berehat daripada dunia seni untuk memberi fokus kepada keluarga selepas berkahwin. Kata Anzalna, sepanjang tempoh itu dia banyak menghabiskan masa bersama suami dan melakukan tugas-tugas biasa sebagai seorang isteri. "Sebelum berkahwin saya setahun bekerja tanpa henti kerana terlibat dalam drama bersiri Memori Cinta Suraya yang mempunyai lebih 100 episod. "Sebab itu selepas berkahwin saya tolak semua tawaran kerana selain ingin beri tumpuan kepada rumah tangga saya juga mahu berehat. "Status berkahwin juga membuatkan keutamaan saya berubah tetapi itu bukanlah bererti saya langsung tak mahu berlakon," katanya kepada mStar Online. Anzalna ditemui pada sidang media pelancaran Rangkaian Drama Melayu Astro 2017 di Saloma Bistro di sini, Rabu. Anzalna berkahwin dengan Mohamad Hanif Zaki pada 21 Februari tahun lalu. Bercakap soal anak, Anzalna berkata dia dan suami sentiasa bersedia untuk menimang cahaya mata namun rezeki masih belum berpihak kepadanya. Dalam pada itu mengenai popularitinya yang semakin malam dia berkata, pada tahap sekarang dia berpuas hati jika namanya diingati kerana lakonan yang meninggalkan kesan kepada penonton. "Nak kejar populariti pun sekarang terlalu banyak artis baharu dan saya tidak mahu terlalu fokus kepada perkara itu. "Insya-Allah jika saya berikan persembahan yang baik dalam lakonan saya pasti peminat akan mengingati saya. "Pada tahap ini ada orang ingat dan masih sedar kewujudan saya sudah memadai," katanya. Dalam perkembangan lain, Anzalna dia bakal terlibat dalam drama rantaian 100 episod berjudul Arluna. Katanya, drama itu bakal menggandingkannya dengan Saharul Ridzwan dan akan ditayangkan menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).