suria

Zaiton Sameon Menanti Album Dilancarkan Sejak Lima Tahun

Zaiton berharap albumnya dapat dilancarkan segera. -foto NORAFIFI EHSAN / The Star

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal era 1980-an, Zaiton Sameon masih ternanti-nanti album baharunya untuk dilancarkan walaupun proses rakaman sembilan buah lagu sudah siap sepenuhnya sejak lima tahun tahun lalu.

Menurut Zaiton, 60, sehingga kini dia tidak dimaklumkan mengenai perancangan berkenaan namun mengakui kerap menyanyikan lagu-lagu daripada album baharu berjudul Terimalah Aku itu ketika membuat persembahan pentas.

"Tak tahulah bila nak lancar. Sudah lama saya rakam album itu.

"Mungkin tahun ini masa yang sesuai, tapi saya sendiri tak pasti," katanya kepada mStar Online.

Album berkenaan adalah terbitan Money Entertainment.

Zaiton Sameon masih aktif memenuhi undangan persembahan pentas.

Hasil semakan di YouTube, Money Entertainment telah memuat naik dua lagu daripada album berkenaan iaitu Terimalah Aku dan Insan Kecil sejak Ogos 2012.

Bercerita lanjut mengenai album berentak balada yang melodinya lebih kepada era 1990-an, Zaiton berkata dia sedia untuk mengikuti siri jelajah bagi tujuan promosi selepas ia dilancarkan.

"Seronok sangat kalau dapat peluang pergi merata tempat untuk promosi album.

"Saya yakin orang boleh terima album ini kerana ia seakan lagu-lagu lama saya dulu," katanya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan ini, dia masih aktif menerima undangan nyanyian di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

"Alhamdulillah saya masih terima undangan buat persembahan untuk majlis makan malam.

"Hampir setiap minggu saya ke Singapura untuk buat persembahan di sana. Lagu wajib pastinya Menaruh Harapan, ada kalanya sampai tiga kali kena nyanyi lagu itu dalam satu persembahan," katanya.

Zaiton Sameon

Artikel Sebelum

Artikel Lain