KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan akhirnya bakal kembali berlakon selepas dipaksa oleh pengurusnya untuk berbuat demikian. Rozita yang lebih mesra dengan sapaan Che Ta berkata, dia akan terlibat menerusi dua telefilem bersempena sambutan Aidilfitri nanti yang akan menjalani penggambaran pada April ini. "Sebenarnya saya memang tiada masa hendak berlakon kerana sibuk dengan perniagaan dan hal-hal lain termasuk menguruskan keluarga. "Tetapi selepas beberapa kali dipaksa oleh pengurus, saya akhirnya bersetuju tambahan pula penggambaran telefilem tidak mengambil masa yang lama," katanya kepada mStar Online. Che Ta ditemui selepas merasmikan pelancaran wangian Ar-Radhi keluaran A & M Berkat Sdn Bhd di Hotel Grand Hyatt di sini, Sabtu. Che Ta bersama Ketua Pegawai Ekskutif A & M Berkat Sdn Bhd, Datuk Radzi Mansor (lima dari kiri) dan rakan artis pada majlis pelancaran wangian Ar-Radhi. - Foto Ihsan Instagram @kaiostudio & @radzimansor82. Dalam pada itu, pelakon berusia 44 tahun itu berkata dia juga akan terlibat dalam sebuah projek drama bersiri pada Jun depan. "Pengurus saya awal-awal sudah berpesan saya perlu kosongkan jadual pada Jun depan kerana saya akan terlibat dalam drama bersiri. "Saya sebenarnya takut juga hendak kembali berlakon kerana sudah lama tak masuk set," katanya. Tambah Che Ta, walaupun dipaksa untuk berlakon namun jauh di sudut hatinya rindu untuk beraksi di hadapan kamera dan dia bersetuju kerana ingin merialisasikan permintaan peminat. "Peminat pun selalu tanya bila saya hendak berlakon dan saya lihat projek baharu ini adalah sebagai hadiah buat mereka," ujarnya. Antara rakan artis yang turut hadir memeriahkan acara. - Foto Ihsan Instagram @kaiostudio & @radzimansor82. Dalam perkembangan lain, Che Ta berkata, dia tertarik untuk melancarkan Ar-Radhi walaupun mempunyai rangkaian minyak wanginya sendiri kerana ingin menyokong produk keluaran tempatan. Malah kata Che Ta, wangian ini cukup unik dengan aroma Amber Oud (gaharu) yang cukup harum didatangkan khas dari Tanah Suci. "Ar-Radhi unik kerana menggabungkan pesona Timur dengan kreativiti Barat dalam menghasilkan minyak wangi yang beraroma mewah. "Saya secara peribadi menyukai wangian ini dan tambahan pula saya kenal dengan pengasasnya iaitu Datuk Radzi Mansor yang cukup berwawasan tinggi dalam setiap apa dilakukan. "Walaupun saya ada produk wangian sendiri tetapi saya berbesar hati dapat melancarkan Ar-Radhi yang juga produk tempatan tetapi bertaraf antarabangsa," katanya.