KUALA LUMPUR: Anak perempuan kepada pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin iaitu Aaisyah Dhia Rana bakal muncul dengan program realitinya sendiri iaitu Little Princess Aaisyah. Penolong Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro, Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, program ini akan memfokuskan kepada kehidupan dan perkembangan seharian kanak-kanak cilik itu termasuk pelbagai aktiviti menarik. "Kekuatan program ini terletak pada Aaisyah sendiri kerana dia mempunyai personaliti yang unik berbanding kanak-kanak seusianya. "Imejnya yang seakan-akan seorang puteri ditambah dengan sifatnya yang gemar bergaya menjadikan dia seorang fesyenista kecil. "Selain melihat kehidupan seharian dan perkembangannya program itu juga memaparkan gelagat comel Aaisyah dalam melakukan pelbagai aktiviti menarik selain mencuba sesuatu yang baharu," katanya kepada mStar Online. Rozita Che Wan bersama anak-anaknya. Mohd Irwan ditemui pada majlis pelancaran program itu yang diadakan di sini, Rabu. Little Princess Aaisyah bakal menemui penonton bermula 12 April depan setiap hari Rabu, pukul 9 malam. Ia disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Aaisyah Dhia Rana berumur 2 tahun 4 bulan. Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, beberapa artis terkenal bakal membuat kemunculan istimewa dalam program itu seperti Neelofa, Jihan Muse, Nabil Ahmad dan Marsha Milan yang akan bersama-sama menjayakan aktiviti harian bersama Aaisyah. Aaisyah Dhia Rana bersama ibunya... bukan main bergaya. Jelasnya lagi, musim pertama lapan episod itu turut memaparkan aktiviti pertama kali dilakukan Aaisyah seperti kunjungan ke Zoo Negara. "Aaisyah berada pada peringkat usia yang mana rasa ingin tahunya sangat tinggi dan aktif meneroka pelbagai perkara disekelilingnya. "Selain melawat Zoo Negara penonton juga berpeluang menyaksikan bagaimana penerimaan Aaisyah terhadap perubahan apabila terpaksa tidur di bilik sendiri buat pertama kali. "Artis-artis jemputan juga akan menyerikan lagi program ini dan ia sudah tentu sebagai satu tarikan buat penonton," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Mohd Irwan berkata, Little Princess Aaisyah juga turut menyelitkan tip dan informasi mengenai keibubapaan daripada Rozita dan suaminya, Zain. "Ia sebagai alternatif mendalami ilmu keibubapaan secara bersahaja dari sudut pandangan Rozita dan Zain dalam mendidik anak mereka," ujarnya.