KUALA LUMPUR: Aktres Fasha Sandha mempunyai pengalaman pernah diekori dan diganggu peminat fanatik sepanjang bergelar selebriti. Fasha, 33, berkata, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dan sentiasa ditemani pengurus setiap kali berada di tempat awam. "Saya ada pengalaman diekori peminat fanatik sehingga ke kereta dan ada juga cuba menganggu tapi mereka bukan ahli kelab peminat saya. "Sebab itu saya akan sentiasa pastikan dikelilingi orang yang menjaga saya sebagai langkah keselamatan," ujarnya kepada mStar Online. Fasha diberi kejutan awal sempena ulang tahun kelahirannya pada 28 Mac ini. Fasha ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-33 anjuran kelab peminat 'We Love Fasha Sandha' di Hotel Oakwood, di sini, malam Ahad. Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan tersentuh dengan kejutan daripada kira-kira 100 orang peminat itu. Ia dilakukan dua hari lebih awal daripada tarikh sebenar ulang tahun hari lahirnya iaitu pada 28 Mac. Fasha berkata, peminat merupakan kekuatan untuk dia bangkit semula dalam industri lakonan tanah air. "Saya terharu kerana mereka menyokong kerjaya seni saya sejak awal pembabitan saya dalam industri. Mereka juga berada di belakang jika saya diserang 'keyboard warrior' tentang sesuatu isu," ujarnya. Bagaimanapun, Fasha berkata, sebagai artis, dia turut mempunyai batasan tertentu dalam melayan peminat. Fasha bersama ahli kelab peminatnya. Peminat juga katanya perlu faham terdapat masa-masa kurang sesuai yang dia tidak dapat memenuhi permintaan mereka. "Saya akui ada masa yang tidak sesuai untuk memenuhi permintaan mereka untuk bergambar seperti ketika saya sedang sibuk bersama anak-anak. "Tapi saya akan menolak cara baik dan beritahu mereka alasan tidak dapat berbuat demikian," ujarnya. Dalam pada itu, ditanya tentang harapan dengan penambahan usianya ini, Fasha mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik dan kembali aktif dalam kerjaya lakonan. "Ini usia kematangan saya dan sudah tentu saya harapkan yang baik-baik sahaja selain memperbaiki diri. "Tahun ini merupakan tahun kebangkitan saya dan saya bersyukur walaupun sudah perlbagai dugaan saya lalui, saya masih diberi peluang untuk berada dalam industri ini," ujarnya.