KUALA LUMPUR: Ketika kandungan memasuki usia sembilan minggu, pelakon Amyra Rosli kini mula hilang selera makan sehingga membataskan kerjaya dan tugasan hariannya sebagai isteri. Sehubungan itu, Amyra, 26, mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bidang seni atas nasihat doktor. "Alhamdulillah kandungan dalam keadaan baik, cuma saya sendiri sejak kebelakangan ini tak ada selera makan, kurang bermaya untuk bekerja. Amyra dan Amar. "Jadi pengurus saya terpaksa batal atau tangguh beberapa kerja yang telah dijadualkan sebelum ini," katanya kepada mStar Online. Amyra atau Nur Amira Izzati ditemui pada majlis pelancaran koleksi pakaian dan tudung bawah jenama Umma serta gincu bibir daripada Nita di Shangri-La Hotel di sini, Selasa. Turut hadir pada pelancaran itu ialah pengasas kedua-dua produk berkenaan, Zairin Azman (Umma) dan Aznita Azman (Nita), pelakon Anzalna Nasir serta Ummi Nazeera dan model Tengku Azura. Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk berehat daripada bidang seni, isteri kepada pelakon Amar Baharin ini berkata dia enggan menyusahkan syarikat produksi jika terus menerima tawaran berlakon. "Saya tak boleh nak ramal keadaan kesihatan saya setiap hari. Jadi untuk tidak menyusahkan banyak pihak, adalah lebih baik saya undur diri daripada bekerja. "Tapi terpulang atas nasihat doktor juga, kalau saya sudah okey, saya akan bekerja. Setakat ini saya buat apa yang termampu seperti hadir di majlis-majlis tertentu. Kerja yang sekejap, tak ambil masa lama bolehlah buat," katanya. Amyra dan Amar bernikah pada 11 November tahun lalu. Dari kiri Amyra Rosli, Anzalna Nasir, Aznita Azman, Zairin Azman, Ummi Nazeera dan Tengku Azura. Bercerita mengenai pengalaman fasa awal kehamilan, Amyra berkata dia belum berhadapan 'mabuk hamil' atau morning sickness seperti yang dilalui kebanyakkan wanita hamil. "Keadaan saya terkawal tapi Amar yang kadang-kandang mengidam itu dan ini, jadi saya layankan saja. "Ada suatu ketika itu dia mengidam nak makan ikan siakap masak tiga rasa pukul 12 tengah malam. "Selain itu ada masa tertentu dia macam mabuk-mabuk sikit," katanya. Bagaimanapun kata Amyra, dia bersyukur kerana suaminya itu banyak membantu menguruskan hal rumah tangga mereka.