PETALING JAYA: Bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3), Reza Mohamed memberitahu dia tidak pernah berhasrat meninggalkan industri hiburan namun 'kehilangan' sementaranya adalah untuk bermuhasabah diri. Reza, 39, berkata, ada ketikanya dia harus melihat ke belakang dan mencari kesilapan percaturan kerjaya seninya sehingga namanya kurang diberi perhatian. "Saya tak hilang tetapi dalam usaha mencari di mana hala tuju sebenar saya dalam bidang seni atau dengan kata lainnya, cuba bermuhasabah diri. Reza Mohamed. "Selepas beberapa tahun meninggalkan konti sebagai penyampai radio (Era FM dan Suria FM), saya ambil keputusan untuk berehat atas sebab-sebab tertentu dan kini kembali dengan satu semangat baru," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun ketika ditanya, dia enggan mengulas kononnya kehilangan dia itu disebabkan penyakit misteri. Dalam pada itu kata Reza atau Syaiful Reza Muhamed ini lagi, dia tidak gentar menghadapi persaingan malah kini dalam usaha mencari komposer dan material terbaik untuk single terbaharu. "Jika diikutkan sebelum ini ada beberapa komposer pernah memberikan lagu kepada saya namun terpaksa ditolak kerana pada ketika itu saya sibuk dengan kerja-kerja di konti. "Dan saya kira sekarang merupakan waktu yang tepat untuk saya mencari sesuatu dalam usaha menjenamakan kembali nama Reza Mohamed dalam industri," katanya penuh harapan. Di sisi lain, Reza akan terlibat sebagai hos pentas untuk konsert NOVA yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia seperti Azlan & The Typewriter, Dayang Nurfaizah, Judika dan Cakra Khan, Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.