suria

'Diam-Diam Ubi Berisi' Imran Ajmain

Imran Ajmain mempunyai beberapa perancangan khas buat peminat setianya. Foto AIMAN ARIFUDDIN

PETALING JAYA: Penyanyi Imran Ajmain mungkin dilihat sepi sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun pelantun lagu Seribu Tahun ini sebenarnya 'diam-diam ubi berisi' dan mempunyai beberapa projek istimewa buat peminatnya.

Jelas penyanyi kelahiran Singapura ini, dia bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi Najwa Mahiaddin tidak lama lagi.

Kata Imran, lagu berjudul Sentiasa Merinding itu istimewa kerana ia adalah realisasi daripada impian untuk bekerjasama selepas 10 tahun menjalinkan persahabatan.

"Alhamdulillah cita-cita kami sepanjang 10 tahun bersahabat akhirnya terlaksana juga apabila Sentiasa Merinding akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Projek ini sudah lama kami rancang tetapi hanya tahun lalu kami nekad untuk mengubah dan menulis lirik lagu itu," katanya kepada mStar Online.

Imran turut merancang untuk melancarkan single solonya tidak lama lagi. 

Imran atau Imran Ajmain Ahmad Husaini Ajmain, 36, memberitahu idea menghasilkan lagu itu datang daripada zaman kegemilangan lagu Melayu klasik seperti era Allahyarham Seniman Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Seniwati Puan Sri Saloma.

"Kami memang penggemar muzik P.Ramlee dan Saloma selain lagu Melayu klasik dan Sentiasa Merinding dihasilkan dengan asas itu.

"Tetapi bagi memastikan ia kedengaran segar dan terkini kami turut menggabungkan muzik elektronik dan R&B," katanya.

Sementara itu, Imran berkata, kemunculannya lagu baharu itu juga sebagai tanda dia akan kembali aktif dalam bidang nyanyian malah akan melancarkan single solonya nanti.

Pun begitu katanya, bidang nyanyian sentiasa menjadi nombor dua kerana dia kini menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai (Kreatif) untuk syarikat milik penyanyi Datuk Fazley Yaakob iaitu Suka Sucre.

"Sejak enam tahun lalu saya sudah bekerja dengan Fazley dan Alhamdulillah semakin selesa dengan tugas sekarang.

"Nyanyian sentiasa nombor dua dalam hidup saya tetapi saya masih di sini dan lagu baharu adalah bukti saya juga serius sebagai penyanyi.

Imran juga bertindak sebagai Ketua Pegawai (Kreatif) di syarikat milik penyanyi Datuk Fazley Yaakob.

"Malah saya juga merancang untuk tampil dengan lagu solo selepas ini," katanya.

Sepi daripada sebarang buah tangan terbaharu selama beberapa tahun, Imran berkata dia optimis dengan kemunculan semula itu walaupun ramai pendatang baharu dalam industri seni.

Jelas Imran sambutan luar biasa peminat terhadap artis-artis baharu tidak mematahkan semangatnya kerana dia sentiasa berpegang pada objektif utamanya iaitu berkarya dan bukannya mengharapkan pengiktirafan.

"Jika kita mempunyai sikap mementingkan pengiktirafan sahaja kita akan berasa kecewa terhadap diri sendiri kerana ia bercanggah dengan objektif utama iaitu berkarya.

"Saya tidak boleh lari dari keinginan untuk berkarya dan menghiburkan peminat walaupun sekarang banyak kehadiran artis baharu dengan jumlah tontonan tinggi di Youtube dan ia tidak melemahkan semangat saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain