suria

UNIC Cari Dana RM50,000 Bantu Kanak-Kanak Kanser

Kumpulan UNIC dari kiri; Wan Najdi, Fakhrul Razi, Hafiz Hamidun, Bazli dan Fadzli akan mengadkan konsert untuk membantu mereka yang kurang bernasibn baik. Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid UNIC berharap dapat mengumpul dana sebanyak RM50,000 menerusi penjualan tiket konsert istimewa ReUNIC bagi membantu pesakit kanser di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Salah seorang anggotanya, Hafiz Hamidun berkata, mereka terpanggil untuk berbuat demikian selepas anak kepada ketua kumpulan UNIC iaitu Bazli yang berusia empat tahun menghidap kanser kelenjar tahap tiga sejak awal tahun ini.

"Asalnya konsert ini diadakan kerana ingin meraikan ulang tahun ke-15 UNIC pembabitan kami dalam bidang seni apabila semua bekas ahli dan anggota terkini bergabung.

"Bagaimanapun keadaan anak Bazli iaitu Mohd Syahid yang menghidap kanser membuatkan kami terpanggil untuk mengambil peluang dalam mengumpul dana bagi membantu meringankan kos perubatannya.

“Dana itu juga kami akan sumbangkan kepada wad pediatrik HKL untuk membantu kanak-kanak yang turut menghidap kanser," katanya kepada mStar Online.

Bazli bersama isteri dan anak mereka yang menghidap kanser.

Hafiz ditemui pada sidang media pengumuman Konsert ReUNIC yang diadakan di sini, Selasa.

Turut hadir pada acara itu adalah anggota lain UNIC iaitu Bazli, Fakhrul Razi, Wan Najdi dan Fadzli.

Konsert ReUNIC akan diadakan di 23 April ini di Dewan Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada pukul 9 malam.

Bagaimanapun Bazli tidak dapat menunggu lama dalam sidang media berkenaan kerana perlu segera ke hospital untuk menjaga anaknya.

Bercakap lanjut mengenai Syahid, Hafiz berkata, keadaannya kini agak lemah kerana baharu sahaja selesai menjalani rawatan kimoterapi buat kali kedua baru-baru ini.

Katanya, Syahid yang juga menghidap penyakit autisme perlu menjalani kimoterapi ketiga dalam masa terdekat.

"Pada awalnya Syahid mengalami demam berterusan dan apabila mendapatkan rawatan lanjut di hospital doktor mengesahkan dia menghidap kanser kelenjar tahap tiga.

"Dia sudah melakukan dua kali rawatan kimoterapi sebelum ini dan perlu menjalani satu lagi rawatan sama dalam masa terdekat ini," katanya.

Dalam pada itu mengenai konsert ReUNIC, Hafiz memberitahu, konsert itu diadakan tanpa sebarang tajaan daripada mana-mana pihak namun mereka tetap meneruskan demi merialisasikan impian peminat yang ingin melihat mereka kembali bergabung.

Kumpulan UNIC akan mengadakan konsert pada 23 April depan.

Bagaimanapun kata Hafiz dia bersyukur kerana pihak USIM bermurah hati untuk menaja lokasi konsert itu nanti.

"Konsert ini bakal menyaksikan kesemua anggota terdahulu dan terkini bergabung di atas pentas sama.

"Pada awalnya memang kami nak buat di lokasi yang lebih besar tetapi tarikh yang kami pilih bersempena Isra dan Mikraj itu banyak lokasi sudah penuh.

"Bagaimanapun Dewan Utama di USIM masih dapat memuatkan 3,500 penonton dan Alhamdulillah pihak universiti pun cukup bermurah hati menaja lokasi tersebut," katanya.

Tambah Hafiz, pada konsert itu nanti akan dipecahkan kepada beberapa segmen seperti solo, ceramah motivasi serta nyanyian lagu-lagu popular UNIC.

"Persembahan kami nanti akan diiringi oleh pemuzik dan memandangkan ini adalah konsert 15 tahun kami dalam industri sudah pasti rangkaian lagu popular dan terbaik akan kami nyanyikan," ujarnya.

Antara ahli lain yang bakal terlibat sama adalah Fitri Haris, Wan Syarifudin, Mohd Affendi dan Azlan.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini dijual pada harga RM15, RM20, RM50 dan RM100 menerusi www.reunic.com atau pun pada hari konsert.

UNIC, Hafiz Hamidun

Artikel Lain