suria

“Bercinta Jarak Jauh Buat Kami Kurang Berbalah” - Ummi Nazeera

Ummi masih dalam fasa mengenali hati budi tunangnya sebelum menamatkan zaman bujang. -foto AIMAN ARIFUDDIN / The Star

KUALA LUMPUR: Percintaan jarak jauh dianggap satu kelebihan bagi pelakon Ummi Nazeera apabila dia dan tunangnya yang hanya dikenali sebagai Dr Izzar kurang berbalah antara satu sama lain.

Sebaliknya menurut Ummi, 27, dia lebih banyak menghabiskan masa untuk mengenali dengan lebih dekat bakal suaminya yang kini sedang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di Sarawak.

"Sejak dari awal perkenalan kami sudah berjauhan, jadi saya sudah biasa dengan situasi itu kerana dengan jarak yang jauh kini kami mula mengenali dengan lebih dekat.

Ummi hanya akan mengumumkan tarikh perkahwinannya selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Malah bagi saya perhubungan jarak jauh adalah baik kerana kami tidak banyak bergaduh.

"Saya tak pasti mengenai pasangan lain, tapi bagi kami apabila kurang masa bersama, kami tak guna masa itu untuk bergaduh," katanya kepada mStar Online.

Ummi atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin mengikat tali pertunangan dengan Dr Izzar, 30, pada 11 Disember tahun lalu selepas diperkenalkan oleh keluarga masing-masing.

Aktres itu akan mengumumkan tarikh pernikahannya selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Cerita Ummi lagi, hingga kini dia dan tunangnya tidak pernah berhubung melalui panggilan video walaupun tinggal berjauhan.

"Kami berhubung setiap hari, tapi bukan menerusi aplikasi Facetime. Jadi banyak perkara yang saya nanti-nantikan pada masa depan.

"Ia baik untuk saya sendiri, seperti kata orang tua-tua... lepas kahwin baru bercinta," katanya.

Ummi dan Dr Izzar (kiri) tampil sedondon ketika menghadiri majlis perkahwinan teman mereka. -foto Instagram @umminazeera

Berkongsi mengenai karakter bakal suaminya itu, Ummi menyifatkan pemuda berkenaan seorang yang penyabar selain setia mendengar masalah yang dihadapinya terutama berkaitan kerjaya lakonan.

"Kadang-kadang saya boleh jadi sedikit melenting, panas baran terutamanya dengan orang yang sayangkan saya.

"Saya pernah uji dia beberapa kali dengan sikap saya ini dan Alhamdulillah dia sangat penyabar.

"Selepas dia lepas ujian, saya katakan kepadanya... patutlah awak jadi doktor kerana sangat sabar. Jadi selepas dia lamar untuk jadikan saya isterinya, saya yakin dia adalah lelaki yang sesuai," katanya.

Ummi Nazeera

Artikel Lain