suria

Haqiem Tepis Tuduhan Bersikap Biadab Terhadap Nabil Ahmad

Haqiem Rusli kini popular denmgan lagu 'Segalanya' yang mencecah lebih lima juta tontonan di YouTube. Foto ROHAIZAT MD DARUS

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular menerusi lagu Segalanya iaitu Haqiem Rusli menepis dakwaan dia bersikap biadap terhadap pelawak Nabil Ahmad ketika muncul dalam program MeleTOP baru-baru ini.

Jelas pemuda berusia 19 tahun ini, dia hanya bergurau apabila mengeluarkan perkataan 'kurang ajar' apabila Nabil menyentuh rambutnya ketika bersiaran langsung.

"Rasanya orang salah faham kerana nada saya ketika memberi reaksi tindakan Nabil itu adalah secara gurauan semata-mata.

Nabil Ahmad

"Langsung tiada niat di hati saya hendak bersikap biadap terhadap Nabil kerana saya menghormati dia," katanya kepada mStar Online.

Haqiem ditemui pada sidang media Jelajah Kolaborasi Safi Balqis Bersama Artis Sony Music di Menara Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Haqiem turut menyangkal sengaja mengungkit kegagalannya mara dalam program Mentor Milenia pada tahun lalu kerana tidak berpuas hati tidak dipilih.

Sebaliknya kata anak kelahiran Selangor ini, dia hanya menjawab pertanyaan apabila ditanya penglibatan dia dalam program itu.

"Bukan tidak puas hati kerana kalah atau ingin mengungkit cuma saya hanya menjawab apa yang ditanya.

"Saya bukannya tidak boleh terima kekalahan tetapi menceritakan dan berkongsi pengalaman menyertai program itu," jelasnya.

Sementara itu, Haqiem berkata, dia bersyukur dengan penerimaan positif pendengar terhadap Segalanya dan merancang untuk melancarkan single terbaharunya tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga teruja dapat menyertai siri jelajah di lima lokasi di seluruh Malaysia itu yang memberi peluang kepadanya untuk bertemu peminat.

Selain Haqiem, Jelajah Kolaborasi Safi Balqis Bersama Artis Sony Music bakal menampilkan barisan artis seperti Aliff Aziz, Altimet, Ifa Raziah, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani.

Lokasi yang terpilih adalah Mydin Pulau Sebang Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).

Haqiem Rusli

Artikel Lain