KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) meminta pihak berkaitan menyekat kemasukan selebriti dari Singapura yang mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah rancangan hiburan di negara itu. Presidennya Zed Zaidi berkata, ini kerana selain Najip Ali, tiga lagi selebriti yang terlibat dalam rancangan OK Chope itu tidak memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan. “Dalam laporan polis yang dibuat hari ini, ada beberapa peserta lain dalam rancangan itu masih belum memohon maaf. Jadi, kami berhasrat membawa perkara ini ke Jabatan Imigresen agar kemasukan mereka ke negara ini disekat,” katanya. Zed Zaidi ditemui mStar Online di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Jumaat selepas dia dan beberapa rakan artis membuat laporan terhadap selebriti Singapura iaitu Najip Ali, Vernetta Lopez, Sam See, Rishi Budhrani dan Mike Kassim kerana mempersendakan Najib. Dalam rancangan yang disiarkan di Channel 5, milik MediaCorp Singapura pada 29 Mac itu, pesertanya diminta melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu Najib slams______for threatening Malaysia’s progress. Inilah selebriti yang terlibat dalam OK Chope!. Kelihatan Najip Ali dua dari kanan. Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah ‘fake news’. Dalam pda itu Zed Zaidi berkata, permohonan maaf yang dibuat oleh stesen televisyen itu juga tidak ikhlas kerana hanya Najip Ali seorang sahaja melakukannya berbanding selebriti lain. Katanya, jika seorang mahu memohon maaf, pihak lain yang terlibat harus sama berbuat demikian. Katanya, pihak Seniman juga melihat Najip Ali 'mencari makan' di negara ini kerana terlibat sebagai juri tetap rancangan Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) terbitan Astro dan perbuatannya itu menghina maruah negara. “Yang kita tidak boleh terima ialah Najip merupakan juri satu program di Malaysia tapi dia hentam pula Perdana Menteri Malaysia. Ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.