SHAH ALAM: Pengacara Datuk Aznil Nawawi berkata, pengalamannya dikutuk oleh imam Masjid Negara dalam satu khutbah Jumaat menyebabkan dia berasa amat berdosa terhadap dirinya sendiri. Namun kata Aznil, 55, peristiwa itu membuatkan dia terbuka untuk meminta maaf hanya kerana penampilannya sebagai hos dalam sebuah rancangan televisyen ketika itu mendapat bantahan orang ramai. “Kita diajar jika buat salah kena minta maaf dan satu aspek lain pula ialah memaafkan... itu baru betul," katanya kepada mStar Online. Aznil mengimbas kenangan lalunya sewaktu menjadi hos Pop Kuiz di TV3 yang mendapat kritikan orang ramai hanya kerana imej dan penampilan peliknya ketika itu. Najip Ali mengemukakan permohonan maaf kepada Perdana Menteri pada 5 April lalu. Beliau berkongsi pengalaman itu selepas melihat kejadian terhadap pengacara dari Singapura, Najip Ali yang meminta maaf kerana kesilapannya mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak namun isu itu masih berpanjangan. Kata Aznil, ketika namanya disebut dalam khutbah Jumaat itu dia amat sedih namun dia bersyukur kerana diberi ruang untuk meminta maaf akibat melakukan kesilapan secara terbuka. "Saya pun buat kesilapan sebelum ini, tapi orang beri saya ruang. Saya pernah dikutuk dalam khutbah Jumaat, itu satu dosa besar bagi saya. "Saya minta maaf dan mereka terima permohonan maaf saya dan kami move on,” ujarnya. Menerusi laporan mStar Online pada Selasa, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tetap berkeras mahu empat lagi selebriti lain iaitu Vernetta Lopez, Sam See, Rishi Budhrani dan Mike Kassim memohon maaf kepada Perdana Menteri. Kata Zed, permohonan maaf daripada Najip dan stesen MediaCorp tidak memadai kerana tindakan itu tidak disertai selebriti lain yang turut terlibat.