suria

Suami Orang Tiada Harapan Tawan Hati Farahdhiya

Farahdhiya tidak berminat untuk berkawan dengan lelaki berstatus suami orang. Foto SS KANESAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farahdhiya mengambil pendekatan sentiasa mengelak daripada didekati lelaki berstatus suami orang.

Farahdhiya, 33, berkata, perkara itu dilakukan agar tidak timbul sebarang masalah yang boleh mencetuskan kontroversi.

"Kalau tanya mana-mana perempuan, pilihan utama ialah seorang yang single, duda pun tiada masalah. Jika diikut umur saya sekarang susah nak jumpa lelaki yang masih bujang.

"Selagi boleh elak, kita elakkan yang sudah berkahwin tapi itu semua Allah yang tentukan, buat masa ini kita berdoa minta dijauhkan dengan lelaki berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Farahdhiya elak daripada didekati suami orang.

Farahdhiya atau nama sebenarnya Faradhiya Muhamed Amin ditemui pada majlis sidang media Farahdhiya Live at Hard Rock Cafe, di sini, Rabu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Bertahta Di Hati ini mengakui masih belum mempunyai pasangan istimewa.

Tambah Farahdhiya, dia sukar menemui lelaki yang sesuai berikutan kurang bersosial dan jadual kerjaya yang padat.

"Saya berjanji dengan diri saya untuk keluar bersosial tahun ini, kalau kita tidak berusaha, jodoh tidak akan datang sendiri, tapi sudah bulan April masih tidak sempat lagi.

"Ada juga kawan-kawan yang cuba kenalkan saya dengan lelaki tetapi kebanyakkannya sudah berkahwin.

"Kawan-kawan pula mahu saya jadi isteri kedua kerana mereka kata, saya akan lebih banyak masa bersama mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Farahdhiya berkata, dia juga mengelak untuk bercinta dengan lelaki muda yang berperangai kebudak-budakkan.

Katanya, ramai lelaki seusia yang kurang matang dan tidak memahami kerjayanya sebagai artis.

"Pernah juga saya berkawan lelaki berperangai tidak matang, sering mengongkong dan mengawal apa yang saya buat setiap hari.

"Perkara itu juga membuatkan saya rimas, mereka sepatutnya cuba sedikit-sedikit masuk dalam kehidupan saya terlebih dahulu," ujarnya.

Farah bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 30 April ini.

Dalam pada itu, bercakap tentang persembahan yang bakal berlangsung pada 30 April ini, Farahdhiya berkata, dia bakal menyanyikan 17 buah lagu.

Lebih istimewa, pada persembahan itu bakal membawakan lagu perlbagai genre termasuklah dangdut dan rock.

"Saya akan menyampaikan 17 buat lagu termasuk lagu madley yang pernah saya bawa di konsert Gegar Vaganza dahulu.

"Saya harap ia dapat menghiburkan peminat-peminat saya yang lama tidak menonton persembahan saya secara langsung," ujarnya.

Persembahan tersebut turut menampilkan  penyanyi Melody United iaitu Kris Patt sebagai penyanyi undangan.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh didapati di www.airasia.com dan di Rock Shop Hard Rock Cafe KL.

Farahdhiya

Artikel Lain