suria

Kesihatan Mazidul Semakin Baik Selepas Diserang Angin Ahmar

Bekas wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidek bersama isterinya Khairul Fazlin Kamarudin (belakang) berbual dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (kanan), Penasihat Pertubuhan Bina Bangsa Datuk Khairul Anuar Rahmat (kiri), Setiausaha Eksekutif PBB Aisha dan Pengerusinya Syahril A. Kadir ketika kunjungan Pertubuhan Bina Bangsa di rumahnya di Kota Damansara pada Sabtu. - ROHAIZAT MD DARUS/THE STAR

PETALING JAYA: Kesihatan bekas wartawan penyiaran program 999, Mazidul Akmal Sidek yang terlantar sakit akibat penyakit angin ahmar kini semakin pulih.

Isterinya, Khairul Fazlin Kamarudin, 47, berkata, Mazidul sudah mampu menggerakkan anggota badannya selain penglihatannya semakin baik.

"Alhamdulillah, kesihatan abang (Mazidul) semakin pulih selain banyak perubahan berbanding mula-mula dia diserang strok dahulu.

"Bahagian kiri badannya yang terjejas akibat penyakit itu juga sudah mula menunjukkan tindak balas positif dan digerakkan malah penglihatannya juga semakin baik.

"Malah pada awal Februari lalu, kami berpeluang menunaikan umrah bersama produksi program Bersamamu," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kota Damansara di sini, Sabtu.

Turut hadir dalam kunjungan itu adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bersama Pertubuhan Bina Bangsa.

Mazidul Akmal Sidek menerima cenderahati dari bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika kunjungan Pertubuhan Bina Bangsa di rumahnya di Kota Damansara pada Sabtu.

Lawatan Ismail ke kediaman Mazidul petang itu adalah bagi menghargai sokongan dan usaha wartawan tersebut memartabatkan tugas polis sepanjang penglibatannya dalam program 999.

Mazidul mengejutkan dunia kewartawanan apabila diserang strok pada Jun 2014 dan telah menjalani tiga kali pembedahan di bahagian kepala iaitu dua kali pada tahun 2014 dan Ogos 2016 di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupan mereka selepas kejadian yang menimpa suaminya, Fazlin berkata, dia bersyukur kerana banyak menerima bantuan daripada keluarga dan teman rapat.

"Alhamdulillah selain menerima bantuan daripada keluarga dan teman rapat, Abang juga ada menerima pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Socso).

"Saya pun mempunyai pekerjaan tetap dan ia turut menjadi sumber kewangan keluarga. Saya reda dengan ujian ini dan percaya ada hikmah disebaliknya," ujarnya.

Mazidul Akmal Sidek bersama isterinya Khairul Fazlin Kamarudin.

Dalam perkembangan lain, penasihat Pertubuhan Bina Bangsa, Datuk Khairul Annuar Rahmat berkata, pihaknya bakal menganjurkan pertandingan menulis esei di kalangan pelajar sekolah menengah atas nama Anugerah Mazidul Akmal Sidek - Pertubuhan Bina Bangsa.

Katanya, pertandingan itu diadakan bagi menggalakkan peserta menulis esei tentang penyiasatan.

"Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah bagi menggalakkan mereka menulis esei berbentuk penyiasatan dan hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang," jelasnya.

Mazidul yang kini berusia 50 tahun berkahwin dengan Fazlin pada 21 Mei 1997.

Mereka dikurniakan dua orang anak, Muhammad Afif Faiq, 19, dan Muhammad Azard, 16.

Mazidul Akmal Sidek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain