suria

"Saya Tak Tiru Bieber" - Ismail Izzani

Ismail akui mengagumi bakat nyanyian yang dimiliki Justin Bieber. -foto KAMARUL ARIFFIN / The Star

PETALING JAYA: Walaupun berbangga dikaitkan mempunyai persamaan dengan Justin Bieber, penyanyi baharu, Ismail Izzani bagaimanapun memberitahu dia mempunyai identiti tersendiri berbanding bakat antarabangsa berkenaan.

Malah menurut bintang kelahiran YouTube itu, dia juga tidak meniru gaya suara Bieber semata-mata mahu menempa populariti dalam masa singkat.

"Sejujurnya saya tak kisah dan tetap berbangga dengan komen pendengar yang kata suara kami sama walaupun sebenarnya saya dan dia memiliki ton suara yang berbeza.

Ismail semakin yakin untuk mengembangkan karier dalam bidang nyanyian.

"Daripada sudut positif, saya jadikan Justin Bieber sebagai inspirasi dan melihat bagaimana dia begitu bersemangat membina nama dalam industri ketika awal pembabitannya.

"Kami juga lahir daripada medium yang sama iaitu laman YouTube, jadi tidak salah saya menjadikan dia sebagai contoh dalam karier saya," katanya kepada mStar Online ketika hadir di Menara Star pada Khamis.

Nama penyanyi berusia 17 tahun ini mula menjadi fenomena selepas single pertama berjudul Sabar hasil ciptaannya sendiri bersama Omar K, Adib Hamdi dan Zyn semakin meniti di bibir pendengar.

Sehingga kini muzik video lagu berkenaan ditonton lebih empat juta kali selepas dimuat naik di laman YouTube pada Februari lalu.

Berbicara mengenai kejayaan mendadak itu, Ismail atau nama penuhnya Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata dia terharu dengan sambutan yang diberikan.

"Saya tak sangka lagu tersebut mendapat perhatian ramai.

"Ini tahun pertama saya bermula secara serius dalam bidang nyanyian dan apabila lihat reaksi pendengar serta sokongan orang ramai, ia membuatkan saya lebih teruja untuk menghasilkan single baharu selepas ini," katanya.

Remaja berusia 17 tahun ini bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Dalam pada itu penyanyi yang berasal dari Ampang ini memberitahu dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Ujarnya kesibukan dalam bidang nyanyian tidak membataskannya untuk belajar, tambahan pula dia memilih untuk mengikuti kelas secara peribadi di rumah.

"Walaupun perlu membahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian, ia tidak sesekali menghalang saya untuk meneruskan minat ini.

"Mujurlah saya ambil kelas secara peribadi di rumah. Jadi waktu saya juga tidak terganggu jika perlu memenuhi undangan nyanyian," ujarnya.

Ismail merupakan anak kepada penyanyi yang popular tahun 1980-an iaitu Datin Suliza Salam.

Ismail Izzani

Artikel Berikut

Artikel Lain