PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia Cakra Khan akan memastikan bekalan sambal pedas dibawa secukupnya setiap kali dia mahu membuat persembahan secara langsung. Cakra berkata, ia adalah satu cara dia mendapatkan suara merdu ketika menyanyi di pentas. "Persiapan penting saya ialah pastikan bekalan cili yang cukup untuk makan pedas, selalunya saya akan bawa sambal dari Indonesia kerana makanan di sini (Malaysia) kurang pedas. "Saya sudah beritahu pihak pengurusan, minta buat persediaan jika saya tertinggal sambal tersebut. "Saya akan makan pedas sebelum menyanyi untuk mendapatkan suara yang bagus dan ringan sedikit, jika tidak suara saya berat," ujarnya kepada mStar Online. Cakra ditemui pada sidang media Konsert Nova 2017 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini, Selasa. Dia bersama lima artis popular lain iaitu Judika, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Azlan & The Typewriter dan Syahrini bakal menjayakan konsert berkenaan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam. Cakra Khan Dalam pada itu, Cakra berkata, dia juga mengelak untuk berada bawah penghawa dingin sebelum persembahan supaya kesihatannya tidak terjejas. "Banyak persediaan yang perlu dibuat dengan teliti sebelum konsert berlangsung, selain perlu ada sambal, saya juga mengelakkan berada di bawah penghawa dingin. "Saya tidak boleh terlalu sejuk kerana ia akan menjejaskan kesihatan dan suara saya. Selalunya saya akan elakkan perkara itu sejam sebelum persembahan," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang perkembangan terkini, Cakra berkata, dia baharu sahaja melancarkan single berjudul Kekasih Bayangan. Jelasnya, lagu berkenaan merupakan sebuah lagu yang mempunyai persamaan dengan apa yang pernah dilalui baru-baru ini. "Ya single ini saya pilih kerana mempunyai persamaan dengan rasa hati saya. Saya tahu orang yang dimaksudkan itu mendengar apa yang saya rasakan ini. "Bila saya sering menyanyi lagu itu, sekurang-kurangnya beban dan rasa kecewa dalam diri saya berkurangan," ujarnya yang merahsiakan individu tersebut. Lagu Kekasih Bayangan menceritakan perasaan seorang yang menyimpan perasaan terhadap seorang sahabat yang sebenarnya tidak pernah mempunyai perasaan cinta kepadanya. Tambah Cakra, lagu itu juga akan dinyanyikan pada Konsert Nova 2017.