suria

Gosip Dengan Tajul, Apa Kata Wany Hasrita?

Wany dan Tajul kini semakin popular dengan lagu duet berjudul Disana Cinta Disi Rindu. -foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Kebiasaanya pasangan selebriti yang digandingkan untuk menjayakan sesuatu projek pasti akan bermain teka-teki apabila digosipkan mempunyai hubungan cinta demi melariskan hasil seni mereka.

Namun lain pula bagi penyanyi baharu, Wani Hasrita apabila dia dengan segera menepis usikkan kononnya sedang bercinta dengan penyanyi, Sedalam-Dalam Rindu iaitu Tajul.

Wany mengakui masih solo dan mahu menumpu perhatian kepada karier.

“Bercinta dengan Tajul? Tak boleh! Kami macam adik-beradik. Kami selesa bersama-sama sebagai kawan,” katanya kepada mStar Online.

Menyedari Tajul tanpa sengaja mendengar jawapan itu kerana berada berdekatan, Wany atau nama penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menjelaskan bahawa dia hanya selesa untuk berkawan dengan remaja itu.

“Aku friend zone (kelompok teman rapat) kau depan-depan,” katanya sambil ketawa.

Sebelum ini Tajul,19, pernah menyatakan bahawa Wany, 25, yang popular dengan lagu Menahan Rindu mempunyai ciri-ciri wanita idamannya.

Malah Tajul juga menyatakan dia tidak kisah jika peminat mula ‘menjodohkan’ mereka terutamanya selepas pasangan itu digandingkan dalam sebuah lagu duet berjudul Disana Cinta Disini Rindu.

Bagaimanapun jelas bakal graduan dalam bidang Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) Shah Alam itu, pada masa ini dia masih belum mempunyai teman istimewa termasuk dalam kalangan rakan artis.

“Tak ada, saya belum bercinta dengan sesiapa. Namun saya tak boleh ulas lebih mengenai jodoh, mungkin esok saya jatuh cinta dengan seseorang, siapa tahu?” katanya.

Sementara itu Wany yang tersenarai sebagai Top 5 bagi kategori artis baharu popular dan penyanyi wanita popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 menyatakan bahawa dia tidak mengharap untuk meraih apa-apa kemenangan.

“Saya tak harap menang anugerah. Tapi apabila gambar saya sudah terpampang dalam senarai itu pun sudah memadai,” katanya.

Wany Hasrita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain