suria

Habsah Hassan Tulis 1,000 Lirik Lagu

Sepanjang kariernya dalam bidang penulisan lirik, Habsah sudah menulis lebih 1,000 lirik. Foto ART CHEN

HABSAH Hassan mengeluarkan tiga fail yang mengandungi koleksi lagu-lagu hasil tulisannya sambil dia duduk di meja di pejabatnya.

Mata penulis terbeliak kerana kagum apabila penulis lirik terkenal berusia 68 tahun itu memberitahu di dalam fail itu tersimpan 1,000 buah lirik hasil tulisannya.

"Seorang kawan saya membantu mengumpul semua lagu-lagu hasil ciptaan saya dan setakat ini kami berjaya menghimpun 800 daripadanya.

"Tetapi sebenarnya ada lebih banyak lagi - lebih 1,000," katanya memulakan bicara.

Pada pertemuan itu, Habsah turut mengimbau cintanya terhadap bidang penulisan ketika membesar di kuarters Polis di Singapura.

"Saya masih ingat ada sebuah program radio yang menampilkan hasil tulisan dan skrip drama untuk radio daripada anggota polis.

"Bapa saya yang juga seorang polis sering menyertai program itu bersama rakan-rakannya.

"Kebiasaannya selepas latihan, mereka akan tinggalkan kertas skrip dan saya akan kutip untuk membacanya. Dari situlah saya belajar menulis skrip," imbaunya.

Habsah bersama trofi kemenangannya dalam bidang penulisan lirik.

Habsah memulakan kariernya dalam bidang penulisan lirik pada 1974 apabila dia mendapat peluang untuk bekerjasama dengan komposer Datuk Oii Eow Jin dan Din Osman yang dia temui ketika bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tidak mempunyai sebarang ilmu formal dalam penulisan lirik, Habsah memberitahu dia mengambil cabaran itu dan menulis lagu pertamanya untuk juara Bintang RTM 1975, Zulkiflee Ahmad berjudul Terkenang.

Selepas itu Habsah menulis lirik berjudul Teriring Doa dan Suratku Yang Ini untuk album pertama Allahyarham Datuk Sudirman selepas arwah menjuari Bintang RTM pada 1976.

Sejak itu, Habsah banyak mencipta lirik lagu-lagu untuk Sudirman seperti Merisik Khabar, Terasing dan Salam Terakhir.

Antara artis lain yang turut mendapat sentuhan Habsah adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza,Salamiah Hassan dan Misha Omar.

Habsah juga pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak dua kali menerusi lagu Menaruh Harapan (Zaiton Sameon) dan Cinta Beralih Arah (Aishah).

Lirik terbaharu yang ditulis Habsah adalah menerusi lagu Andainya Takdir nyanyian Anuar Zain.

Menariknya tentang Habsah, walaupun dikenali sebagai penulis lirik namun beliau menganggap ia sebagai kerja sampingan dan masih meneruskan karier tetapnya di RTM selama 11 tahun.

Selain menulis lirik, Habsah yang mempunyai syarikat produksinya sendiri dan pernah terlibat dalam penerbitan filem seperti Ali Setan (1985) sebagai pengurus produksi, Hati Bukan Kristal (1990) sebagai penerbit dan penulis skrip - nashkhah itu turut memenangi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia dan Soal Hati (2000) turut bertindak sebagai penerbit dan penulis skrip.

1. Boleh anda cerita tentang proses penulisan lirik?

Kebiasaannya sebelum menulis lirik saya akan mendengar melodinya berulang kali sehingga ia menangkap di jiwa saya.

Selepas itu barulah saya bayangkan asas penceritaan dalam kepala saya seperti Andainya Takdir ia bermula dengan kisah seorang wanita yang ingin mengecap kejayaan dalam hidup tetapi melupakan keluarga.

Apabila sudah ada asas penceritaan barulah saya akan duduk dan menulis liriknya. Jujurnya saya tidak tunggu inspirasi untuk menulis kerana ia tidak akan datang.

Anda yang kena cari inspirasi itu dan proses menulis ini boleh mengambil masa sehingga berhari-hari.

2. Anda sudah menyumbangkan lirik untuk pelbagai artis - yang mempunyai nama dan kurang popular. Bagaimana anda memilih untuk menulis lirik untuk penyanyi?

Saya tidak menulis kerana artis itu sendiri sebaliknya apa yang saya lakukan adalah kerana minat.

Pada kebanyakan masanya, komposer yang memberi saya melodi, saya sendiri langsung tidak tahu siapakah penyanyinya. Jika saya sukakan melodinya, saya akan tulis dan sebaliknya.

3. Dua lagu anda iaitu Merisik Khabar dan Menaruh Harapan bersaing pada Anugerah Juara Lagu 1987. Adakah anda terkejut dengan keputusannya ketika itu?

Saya yakin Merisik Khabar akan menang sebenarnya kerana ia mempunyai melodi dan lirik mendalam yang datang daripada hati.

Saya sedikit terkejut apabila Menaruh Harapan menang namun lirik lagu itu sebenarnya membawa lebih banyak maksud positif.

4. Anda adalah antara insan yang paling awal bekerjasama dengan Sudirman. Apakah pandangan anda apabila bertemu dengannya buat pertama kali?

Saya percaya dia akan menjadi nama besar kerana dia bukan sahaja mempunyai bakat tetapi juga fokus dan seorang yang bekerja keras.

Allahyarham tidak pernah memandang populariti atau dunia glamour kerana fokusnya hanyalah pada muzik.

5. Apakah lagu tulisan anda yang paling digemari tetapi ia tidak menjadi hit?

Saya suka Semut-Semut Di Titian Usang dan Kadang Kala yang dinyanyikan oleh Salamiah Hassan. Kau Yang Tersendiri nyanyian Jay Jay juga kegemaran saya.

Habsah Hassan

Artikel Lain