suria

Fokus Wak Doyok Terganggu Jika Terjebak Dalam Cinta

Wak Doyok masih belum bersedia untuk mencari cinta. Foto Instagram @wakdoyok

PETALING JAYA: "Cinta boleh menggangu fokus terhadap karier," ha! Itu jawapan ikon fesyen, Wak Doyok apabila ditanya tentang pengganti selepas hubungannya dengan bekas personaliti TV3 iaitu Azrinaz Mazhar Hakim berakhir tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wak atau Mohd Azwan Md Nor, 36, berkata, buat masa ini dia belum berfikir secara serius mengenai soal peribadi kerana sedar jika dia bercinta ia akan menggangu kariernya yang sedang berkembang maju.

"Buat masa ini rasanya lebih baik saya fokus kepada karier saya sahaja tambahan pula sekarang memang tengah banyak perkara yang perlu saya uruskan.

"Bimbang pula kalau bercinta, fokus terganggu kerana percintaan dan karier bukannya boleh dicampur-adukkan.

"Tetapi itu bukanlah bererti saya serik cuma akan bercinta apabila tiba masa sesuai," katanya kepada mStar Online.

Wak ditemui pada acara Festival Aidilfitri 2017 yang berlangsung di ibu negara pada malam Rabu lalu.

Wak bakal tampil dengan filem pertama lakonannya iaitu Abang Long Fadil 2.

Pada acara itu, Wak turut memperkenalkan koleksi terbaharu baju Melayu rekaannya menerusi jenama Wak Doyok.

Bercakap mengenai baju Melayu keluarannya, Wak berkata, dia mengeluarkan 100,000 pasang pada tahun ini sebagai memenuhi permintaan pelanggan selepas koleksi sama habis terjual pada tahun lalu.

Wak berkata, kualiti pakaian itu juga dipertingkatkan dengan rekaan lebih kemas namun masih mengekalkan keaslian baju Melayu tradisional selain pemilihan fabrik terbaik.

"Tahun lalu saya hanya mengeluarkan 30,000 pasang sahaja dan ia tidak cukup memenuhi permintaan pelanggan dan Alhamdulillah tahun ini saya tambah lagi 70,000 helai.

"Koleksi kali ini juga saya gunakan kain berkualiti tinggi yang sesuai dengan faktor cuaca Malaysia yang panas kerana kalau kain biasa ia tidak meresap peluh dan cepat berbau.

"Apabila guna kain yang mahal ia bukan sahaja selesa tetapi boleh dipakai seharian dan ini menjadi keutamaan saya selain mengekalkan rekaan asli baju Melayu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Wak berkata, dia teruja untuk menantikan kemunculan filem pertama lakonannya iaitu Abang Long Fadil 2 yang dijangka berada dipawagam pada September depan.

Wak Doyok

Artikel Berikut

Artikel Lain