HAIPPP!!! marah nampaknya Abang Joe Flizzow kita... tapi itulah, ada sebab kenapa rappers tersohor tanah air ni melontarkan kemarahan. Kata Joe, 38, dia terkilan sejak kedai gunting rambutnya iaitu Joe's Barbershop diperkenalkan pada 2014, semakin ramai pengusaha barbershop lain mula menciplak identiti dan konsep kedai yang dia ketengahkan sekali gus mengelirukan peminat dan pelangganya. "Bukan satu atau dua kedai, tetapi banyak kedai dan rasanya sudah waktunya saya perlu bersuara kerana ia mengelirukan pelanggan saya. "Please create your own identity (tolong cipta identiti sendiri) agar pelanggan tidak rasa hilang hormat pada diri anda," tegasnya kepada mStar Online. Jika anda antara pelanggan Joe's Barbershop, anda pasti tahu identiti yang diketengahkan pada setiap cawangannya iaitu berdinding batu bata dan berlantai hitam putih. Joe di hadapan salah sebuah cawangan Joe's Barbershop miliknya. - Foto Instgram @joes47500 Tambah Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, dia bukan cemburu sebaliknya berbangga apabila semakin ramai anak muda mula melihat potensi mengusahakan perniagaan kedai gunting rambut yang sebelum ini hampir pupus dimonopoli warga asing. "Saya tidak mahu kata saya ni perintis perniagaan ini, tetapi sebenarnya saya antara insan terawal mencetus fenomena barbershop berkonsep hipster di Malaysia, sudah pasti saya mahu melihat anak bangsa saya berjaya dalam lapangan ini. "Teguran ini bukan atas dasar rasa iri hati, tetapi saya ingin membantu mereka agar tidak menjadi diri orang lain kerana perkara itu akan menjejaskan perniagaan mereka kelak," ujarnya bersungguh-sungguh. Sementara itu kata penyanyi lagu Havoc ini lagi, tidak ramai yang tahu dia sebenarnya mengamalkan konsep menyewa kedai dan kerusi di setiap cawangan Joe's Barbershop yang mana setiap cawangan mempunyai bos berlainan. "Kami memberi peluang di mana setiap kedai yang kami sewakan, mereka adalah bos kepada cawangan itu. Suasana di dalam Joe's Barbershop. "Malah bagi yang tidak berduit, kami juga sewakan kerusi. Sebagai contoh saya ada 10 kedai dan setiap kedai saya ada lapan kerusi di mana jumlah kesemuanya adalah 80 kerusi yang saya sewakan dan mereka boleh sewa sekiranya mahu dua kerusi dari mana-mana cawangan. "Itu konsep perniagaan yang saya ketengahkan dan saya tidak pasti adakah pengusaha kedai gunting rambut lain mengambil pendekatan yang sama," katanya. Dalam pada itu katanya, sejak tertubuhnya jenama kedai guntingnya itu, dia bersama pengusaha barbershop lain di seluruh Malaysia telah menubuhkan satu persatuan khas perniagaan itu. "Kami sebagai NGO berdaftar kini mempunyai hampir 250 buah barbershop di seluruh Malaysia di mana menerusi persatuan ini kami sama-sama berbincang dalam usaha menambah-nilai perkhidmatan yang disediakan agar terus mesra komuniti. Joe's Barbershop kini mempunyai 12 cawangan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antaranya di Subang Jaya, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Puchong, Johor Sarawak dan bakal dibuka di Singapura pada waktu terdekat.