suria

Kebangkitan Lagu 90-an Bantu Populariti Sweet Child

Sweet Child masih popular dikalangan peminat.

JIKA dilihat pada trend industri muzik semasa, lagu-lagu yang mengangkat melodi era 90-an kembali mendapat perhatian pendengar.

Percubaan bintang-bintang baharu dengan muzik sedemikian seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi ternyata menjadi fenomena.

Bagi kumpulan Sweet Child yang terkenal pada era tersebut, kebangkitan muzik 90-an sedikit sebanyak membantu mengembalikan populariti mereka terutamanya dikalangan generasi baharu.

Malah kata vokalisnya, Acong, dia sendiri terkejut apabila lagu-lagu popular mereka seperti Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan diminati oleh golongan muda.

"Kebangkitan lagu-lagu era 90-an memang sedikit sebanyak memberi impak kepada Sweet Child walaupun kami sudah lama tidak tampil dengan album baharu.

"Bukan sahaja lagu-lagu baharu yang diinspirasikan dari era itu popular tetapi karya lama juga kembali popular terutama dikalangan pendengar baharu.

"Ia sedikit sebanyak memberi tempias juga kepada Sweet Child walaupun lagu-lagu kami itu sudah lama," katanya.

Selain Acong, Sweetchild turut dianggotai oleh Suzahari Aziz atau Yem (keyboard), Saiful Azlan Ahmad atau Aalan (gitar), Ahmad Zamri Zainal Abidin atau Ijan (gitar bas) dan Romzi Mohd Minsawi atau Pet (drum).

Sementara itu, Acong berkata, populariti itu turut memberi idea kepadanya untuk menghasilkan lagu berkonsepkan 90-an kerana ia diminati pendengar.

Malah katanya, mereka sedang merancang untuk menghasilkan single terbaharu sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong karier seni Sweet Child.

"Ramai yang ingat kami sudah berpecah tetapi sebenarnya kami masih bersama sebagai sebuah kumpulan dan sebab itu juga saya masih menggunakan nama Acong Sweet Child.

"Sokongan peminat memang luar biasa dan sebab itu kami masih disini dan merancang untuk melancarkan single terbaharu tidak lama lagi," ujarnya.

Sweet Child, Acong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain