KALAU jadi artis, untunglah apabila berniaga. Mesti orang akan berebut-rebut beli barang yang dijual. Macam itulah persepsi orang ramai apabila melihat golongan artis sebagai jalan mudah dalam berniaga tanpa perlu berusaha keras tambahan pula kuasa media sosial seperti Facebook dan Instagram banyak membantu. Bagi pelakon Zain Saidin yang mempunyai rangkaian kasutnya sendiri iaitu Zapatos by Zain Saidin tidak bersetuju tanggapan itu kerana seperti usahawan baharu lain, dia juga tidak melalui jalan mudah untuk berjaya. Zain sudah jarang berlakon kerana tumpu pada perniagaan. Bagaimanapun akui Zain, ketika mula-mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan, dia juga berganggapan sama namun sangkaannya itu meleset jauh. "Masa mula-mula dahulu memang saya ingat status sebagai selebriti itu akan jadi laluan mudah untuk saya perkenalkan Zapatos kepada pembeli. "Status tidak pernah beri kelebihan sebaliknya ilmu, strategi dan usaha keras yang akan membantu dan Alhamdulillah saya cepat sedar mengenai perkara itu. "Saya pernah masuk kelas usahawan bersama isteri, belajar selok-belok tentang perniagaan dan bagaimana menjadi usahawan berjaya," katanya kepada mStar Online. Kata Zain, untuk berjaya juga dia membuang jauh ego yang ada dalam dirinya selain banyak turun padang bagi mempromosikan produknya di kalangan pembeli. "Saya sudah lama buang ego dan sebab itu anda akan lihat saya sentiasa berada di pejabat dan butik kasut untuk menjual sendiri kasut kepada pelanggan. "Jika ada festival, saya sendiri akan turun padang membantu menjual selain dapat bertemu pelanggan dan mendapatkan maklum balas daripada mereka," ujarnya. Sementara itu, Zain berkata, dia semakin selesa bergelar usahawan dan atas sebab itu juga dia jarang mengambil tawaran berlakon. Kata Zain, selain mendapat pendapatan tetap dan stabil, menerusi bisnes diusahakan dia mendapat kepuasan selain dapat memotivasikan diri agar lebih berjaya. KL Raya Festival 2017 kembali di PWTC selama 72 jam tanpa henti. "Alhamdulillah orang mula nampak saya sebagai usahawan dan sekarang saya lebih yakin dengan diri sendiri sebagai ahli perniagaan berbanding dahulu. "Hendak bergantung harap kepada lakonan sahaja untuk mendapatkan pendapatan memang tidak boleh kerana ia bukan tetap. "Saya memang suka berniaga dan kalau orang bertanya saya boleh bercakap tentangnya sepanjang hari selain ia beri kepuasan lain apabila kita buat semuanya sendiri," katanya. Bercakap mengenai perancangan Ramadan, Zain berkata, dia akan terlibat dengan KL Raya Festival 2017 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur untuk menjual kasut keluarannya. Festival yang dianjurkan oleh Mood Republik itu bakal diadakan selama 72 jam tanpa henti bermula 16 Jun hingga 19 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Selain PWTC, Zain berkata, dia juga akan membuka gerai pada acara sama yang diadakan di Perak, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor.