suria

Pelakon Kayu, Rusdi Adakan 'Kelas Lakonan'

Rusdi Ramli

PETALING JAYA: Kurang komitmen dan hanya mahu kelihatan cantik antara cabaran yang dihadapi oleh pelakon dan pengarah Rusdi Ramli apabila berhadapan dengan bakat-bakat baharu.

Rusdi, 46, berkata, dia terpaksa membuat kelas lakonan setiap kali sebelum bermula penggambaran bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

"Ramai pelakon baru yang tidak buat persediaan terlebih dahulu tentang karakter mereka dan kebanyakkannya hanya tahu nak cantik sahaja.

"Setiap kali sebelum mula penggambaran saya terpaksa buat 'kelas lakonan'. Kadang-kadang gerak pun nak kena ajar. Setiap babak ada situasinya, kalau itu pun mereka tak faham, susahlah," ujarnya kepada mStar Online.

Rusdi Ramli aktif sebagai pengarah.

Rusdi berkata demikian ketika ditemui di sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini.

Pelakon yang kini beralih ke bidang pengarahan juga mengakui situasi bekerja seorang pelakon sudah jauh berbeza.

"Keadaan sudah berubah, pelakon sekarang tidak macam dahulu . Ketika saya membintangi filem Qabil Khushry Qabil Igam bersama Erra Fazira, Ziana Zain dan Hans Isaac masing-masing datang dalam keadaan yang bersedia.

"Jadi perkara itu lebih mudah dan penggambaran berjalan dengan lancar sahaja," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kejaya lakonannya, Rusdi berkata, dia masih mahu berlakon, namun tidak berkesempatan.

Katanya, jadual sebagai pengarah membuatkan dia terlepas beberapa drama yang mempunyai naskhah yang bagus.

"Saya masih mahu berlakon cuma masa yang tiada. Banyak juga tawaran daripada pengarah-pengarah yang saya suka terpaksa ditolak. Sekarang saya fokus kelada pengarahan dahulu," ujarnya.

Rusdi pernah mengarah beberapa drama termasuk Padamu Ku Bersujud dan Mr Stalker Saya Cintakan Awaklah!.

Rusdi Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain