KESIAN pula dengan pelakon Hairul Azreen, dek kerana wajahnya yang dikatakan 'jambu' peluangnya untuk mendapat pelbagai tawaran agak terhad. Dah ada anak satu ni jambu apa pulak? Jambu ada banyak jenis hehe... Jangan marah gurau aje. Kata Hairul, wajahnya dilihat lebih sesuai membawakan watak dalam drama atau filem romantik walaupun dia lebih berminat kepada genre aksi. Tidak mahu hanya berpeluk tubuh dengan situasi itu, Hairul memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa di gim bagi membina ototnya agar dapat mengaburi wajahnya yang 'jambu' itu. "Ramai yang kata wajah saya 'jambu' dan tidak sesuai untuk filem aksi tetapi saya tidak tunduk dengan label yang dibuat. Hairul bersama anaknya, Yusof Iskandar. "Kebetulan saya mendapat tawaran berlakon dalam sebuah filem aksi dan saya ambil peluang itu untuk membina otot sebagai persediaan sebelum penggambaran bermula," katanya. Bukan sahaja pergi ke gim malah kata Hairul dia kini sering berjemur sekiranya berkesempatan ke pantai semata-mata untuk menggelapkan kulitnya. Katanya itu sahaja cara untuk mendapatkan wajah dan tona kulit agar kelihatan lebih maskulin. Haih! Jangan jadi macam Dayang Senandung sudahlah ya Hairul! Dalam perkembangan lain, Hairul berkata, dia juga baharu selesai menjalani penggambaran filem arahan Ahmad Idham iaitu Pencuri Hati Mr Cinderella.