DUA pemuzik popular tahun 1980-an iaitu pemain trompet kumpulan Heavy Machine, Mohd Yatim Abdullah dan gitaris kumpulan Rampa, Zainal ketika ini menderita melawan penyakit. Mohd Yatim, 61, ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit angin ahmar yang dihidapinya sejak 2015 lagi. Dia dimasukkan ke HKL sejak 2 Jun lalu akibat kesukaran bernafas dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan sahaja. Zainal, 66, pula yang kini tinggal di Pangsapuri Teratai Mewah, Kuala Lumpur sudah lapan tahun menghdaip penyakit saraf dan tulang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda yang dibantu isterinya, Noraini Zainal Abidin, 58. Penderitaan mereka itu sedikit terubat apabila wakil penggiat seni yang datang bertanya khabar. Yatim ketika sihat dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ia diketuai Presiden, Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez bersama pelakon Ezany Nizariff yang turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka menyara hidup. Freddie berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib anggota kumpulan muzik itu dan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengembirakan mereka terutamanya menjelang hari raya yang bakal tiba. "Diharap dengan kunjungan ini dapat menggembirakan mereka dan saya sedikit lega melihat perkembangan positif Yatim dan Zainal namun mereka masih perlu diberi perhatian, " katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu Zainal berkata, wang milik isterinya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah habis digunakann untuk merawat penyakitnya itu. Menerusi kumpulan Rampa, Zainal bergandingan dengan Poe, berimej rambut panjang dan popular dengan lagu Jemputan Kahwin. Heavy Machine pula cukup dikenali dengan lagu Gelombang Cinta.