suria

Belum Terlewat Buat Edika Yusof

Edika mahu kembali aktif dalam bidang lakonan. Foto FAIHAN GHANI

PADA usia sudah mencecah 50 tahun pelakon dan model terkenal 1990-an, Edika Yusof tidak merasakan sudah terlewat untuk dia kembali aktif dalam bidang lakonan.

Sebaliknya kata Edika, selepas 20 tahun menyepikan diri, dia merasakan sekarang adalah masa paling sesuai untuk berbuat demikian.

Semangatnya kembali membara bukan sahaja kerana rindu terhadap lakonan malah sokongan daripada isterinya, Nuhidayah Yusri membuatkan dia lebih yakin.

"Pada awalnya ada juga rasa rendah diri kerana saya bukannya muda lagi tetapi apabila saya kenangkan minat mendalam terhadap lakonan tambahan pula isteri menyarankan saya kembali aktif, saya lupakan soal usia.

"Jika kita tengok di Hollywood dan Bollywood pun masih ramai aktor berusia 40 tahun ke atas masih laris.

"Saya jadi semangat dan tidak pernah meletakkan usia sebagai halangan selagi ada minat dan usaha," katanya.

Malah Edika memberitahu penglibatannya menerusi drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati disamping Alif Satar dan Nabila Razali baru-baru ini membangkitkan lagi semangatnya untuk terus aktif.

Edika mendapat sokongan penuh daripada isteri untuk kembali berlakon.

Bagaimanapun kata pelakon filem Maria Mariana ini, dia berharap tidak hanya diberi watak sebagai seorang bapa sahaja sebaliknya ingin mencuba pelbagai peranan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

"Semasa zaman 90-an dahulu saya sering bawa watak romantik dan sekarang diberikan peranan bapa.

"Harap-harapnya tidaklah hanya berlakon watak sama sahaja tetapi diberi peluang cuba perkara baharu yang tidak pernah saya buat sebelum ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Edika mengakui mengalami kejutan budaya apabila memasuki set drama itu yang tidak sama seperti mana zaman kegemilangannya dahulu.

Katanya, aspek teknikal dan teknologi telah banyak mengubah budaya kerja sehingga membuatkannya berasa rendah diri walaupun berpengalaman sebagai pelakon.

"Kalau zaman saya dahulu hendak siapkan satu episod makan masa seminggu tetapi sekarang satu hari boleh siap.

"Aspek teknikal yang lebih canggih memang membuatkan saya kejutan budaya tetapi Alhamdulillah saya dapat membiasakan diri," katanya.

Edika Yusof

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain