suria

Adik Kongsi Kata-Kata Arwah Achik Dalam Mimpi

Khalis sering berharap dapat bertemu arwah abangnya itu di dalam mimpi.

TERSENTUH hati mendengar cerita Khalis, antara adik arwah Achik (Spin) yang mengakui sering bertemu arwah abangnya itu di alam mimpi biarpun sudah tujuh tahun episod duka itu berlalu.

Khalis, 29, ketika ditemui berkata, mimpi yang datang seolah-olah 'benar' dan dia sering menunggu peluang tersebut untuk memeluk dan melepaskan rindu kepada abangnya itu.

"Saya antara yang kerap bermimpi arwah dan kali terakhir pada awal Ramadan lalu di mana setiap kali 'berjumpa' dengan bang Chik (panggilan untuk Achik), saya sedar saya sedang bermimpi tetapi situasinya seperti saya benar-benar sedang berkomunikasi dengan arwah.

"Saat itu saya akan peluknya erat-erat dan meluahkan rasa rindu padanya. Bang Chik seakan-akan memahami kerinduan saya padanya dengan memandang tepat pada wajah saya. Senyumannya juga tidak lekang di bibir.

Ketika ini wajah Khalis saling tak tumpah dengan wajah arwah abangnya Achik.

"Selalunya saya akan bertanya padanya soalan yang sama, kenapa bang Chik terlalu awal tinggalkan kami? 

Jawapannya ringkas: "Kalau bang Chik tak pergi, kamu adik-adik tidak berpeluang menyanyi dan dikenali," katanya kepada mStar Online.

Achik atau Abdillah Murad Md Shari meninggal pada usia 28 tahun dalam satu kemalangan maut di lebuhraya Kajang-Seremban pada 17 April 2010. 

Dalam pada itu kata Khalis atau Muhammad Khalis Shari ini lagi, selalunya arwah akan munculkan diri dalam bentuk bayangan seakan-akan hologram dan perkara itu membuatkan dia sedar yang pada ketika itu dia sedang bermimpi.

"Kalau boleh, setiap masa saya mahu mimpi itu datang kerana dikesempatan itulah saya dapat meluahkan rasa rindu pada dia. Arwah tidak banyak berkata-kata namun air wajahnya cukup tenang," ujarnya berbaur sebak.

Khalis (tiga dari kiri) bersama anggota Khalis & The Real Spin.

Berkongsi tentang perjalanan seninya pula, Khalis yang juga vokalis kepada kumpulan Khalis & The Real Spin berkata, kumpulannya kini bakal hadir dengan single pertama berjudul Semakin Rindu ciptaan Cuna Alfian dan Atan Alfian selepas Aidilfitri depan bawah pengurusan label Padi Records & Entertainment.

Katanya, Khalis & The Real Spin ditubuhkan pada 2016 dengan dua anggota lama Spin iaitu Azren dan Aidel selain seorang anggota baru iaitu Aiman.

Ditanya kenapa baru sekarang mengambil keputusan untuk muncul di dalam industri setelah tujuh tahun pemergian Achik, ini penjelasan Khalis.

"Tak ramai yang tahu, selepas pemergian bang Chik selama empat tahun kami sekeluarga tidak boleh mendengar lagu arwah, apatah lagi nak menyanyi. Air mata pasti mengalir. 

"Justeru hasrat itu terpaksa kami adik-beradik pendam sehingga 2015," katanya.

Selain Khalis, dua lagi adik Achik yang menjadi artis iaitu Awis dan Tajul.

Khalis, Achik Spin

Artikel Sebelum

Artikel Lain