Aiii... dalam banyak-banyak lauk, telur dan kicap juga yang dipilih. Takkan sedang mencatu perbelanjaan Linda? Sebenarnya itu antara realiti dari secebis kisah hidup bekas anggota kumpulan Elite, Linda Rafar seperti yang diceritakan. Linda, 39, berkata, kemewahan dan populariti yang diraih pada zaman kegemilangannya dulu bersama Elite tidak sedikit pun memberi nikmat kepadanya. "Ya, waktu itu saya ada segalanya. Berduit, dikenali tetapi jiwa saya kosong. Nikmat itu saya tak rasa! "Namun setelah pemergian anak saya Memen, saya jadi lebih tahu menghargai apa yang saya ada. Sekarang makan nasi berlauk telur dan kicap pun saya rasa besar nikmatnya," katanya kepada mStar Online. Pemergian Memen banyak menyedarkan Linda erti syukur dan nikmat. Tambah Linda atau Azlinda Rafar ini lagi, lebih membuatkan dia rasa bersyukur apabila penghayatan solatnya juga semakin baik berbanding sebelum ini yang hanya tahu sembahyang lima waktu, namun tiada nikmatnya. Dalam pada itu, ujar pelakon filem 'Litar Kasih' ini lagi, pernah satu ketika harga barang berharga puluhan ribu seakan tidak menjadi nilai buat dirinya. "Bayangkan, setiap kali pulang dari pertunjukan pentas atau bersiar-siar, saya main campak je beg tangan tu di dalam kereta tanpa pernah fikirkan ia akan hilang atau rosak. Betapa pada waktu itu saya tidak pernah kenal erti bersyukur. "Berbeza sekarang, setiap apa yang ada saya amat hargai dan saya percaya kesedaran ini datang selepas Allah menarik Memen dari hidup saya," akhirnya sambil mengakui setiap apa yang terjadi, terdapat hikmah di sebaliknya. Dalam perkembangan seni pula, kata kakak kepada Diana Rafar ini lagi, dia bakal melancarkan sebuah single terbaru bersama Epul (Projektor Band) di mana lagu tersebut akan menjadi lagu runut bunyi untuk telefilem Menunggumu Di Pintu Syurga, sebuah karya yang didedikasikan untuk Allahyarham Memen. Arwah Memen atau Rezaiman Keifli menghidap ketumbuhan kronik di dalam perut sebelum meninggal dunia pada 5 Julai 2014.