PELAKON Shahiezy Sam mengakui kehadiran anak lelakinya, Syeriv Samheizy hampir dua bulan lalu mula mengubah pandangannya terhadap kehidupan dan sebagai seorang lelaki. Shaheizy atau lebih mesra disapa Sam berkata, dia tidak boleh lagi memikirkan kehendak dirinya semata-mata kerana perlu bekerja keras dalam membesarkan anak kesayangannya itu. Demi masa depan anaknya, pelakon berusia 35 tahun itu sanggup mengorbankan karier seni dengan tidak bersikap terlalu selektif terhadap tawaran diberikan. "Saya tidak boleh lagi berfikir tentang eksklusif diri atau bekerja seperti di Hollywood kerana kini saya ada anak dan keluarga yang perlu diberikan perhatian. "Sebelum ini memang saya bersikap selektif dan tidak mengambil watak yang pernah saya bawa tetapi saya harus berhenti berfikir tentang kehendak saya sahaja," katanya kepada mStar Online. Sam memangku anaknya, Syeriv Samheizy yang lahir pada 9 Mei lalu. Tambah Sam, kehadiran Syeriv banyak memberinya motivasi untuk lebih serius dalam karier demi masa depan anaknya itu. "Jika saya terus mengikut kehendak diri tanpa memikirkan isteri dan keluarga, apa akan jadi kepada keluarga saya nanti? "Saya tidak boleh main-main kerana perlu mencari wang bukan sahaja untuk membesarkannya tetapi juga menyediakan simpanan untuk masa depan dia. "Jika ditakdirkan saya tiada lagi, sekurang-kurangnya saya ingin tinggalkan harta untuknya," ujar Sam. Bagaimanapun kata Sam, keputusannya untuk tidak bersikap selektif terhadap lakonan bukan bererti dia sambil lewa dalam memilih tawaran kerana masih mementingkan kepuasan dalam berkarya. "Sebelum ini saya hanya akan buat satu filem sahaja setahun dan mungkin selepas ini saya akan lebih terbuka untuk mengambil lebih banyak tawaran dalam tempoh sama. "Etika dalam kerja tetap saya utamakan dan bukannya ingin bersikap tidak peduli dan mementingkan wang semata-mata," ujarnya. Sam berkahwin dengan aktres Syatilla Melvin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata pada 9 Mei 2017.