suria

“Jangan Terkejut Suami Saya Berbaju Kurung” – Zila Bakarin

Kata Zila, sebelum ini dia sendiri ada dua pasang baju melayu teluk belanga dalam koleksinya.

KEPUTUSAN pelakon Zila Bakarin memilih untuk memakai baju Melayu bersama keluarganya untuk melaram di pagi 1 Syawal menarik perhatian netizen sehingga gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya menjadi tular.

Malah Zila, 42, ketika dihubungi berkata, dia sengaja memilih persalinan tersebut tanpa sedikit pun menyangka ia akan menjadi heboh.

"Bagi saya tiada yang peliknya dengan persalinan tu apatah lagi bagi mereka yang kenal siapa Zila Bakarin. Mereka tahu saya seorang yang sempoi dan akan pakai apa sahaja yang saya rasakan selesa. Tak niat suruh viral pun.

"Dalam hal ini, saya beruntung kerana suami dan anak-anak tidak cerewet dan sangat sporting dengan idea spontan ini malah langsung tidak membantah.

"Tahun ni saya berbaju Melayu dan jangan terkejut kalau raya tahun depan suami berbaju kurung Kedah pula (ketawa). Tapi dipadan dengan seluarlah..." selorohnya kepada mStar Online.

Menerusi gambar yang dimuat naik Zila pada pagi raya pertama tersebut, dia bersama suami, Azri Azhar serta dua anak perempuan mereka, Kaseh, 8, dan Cinta, 5, mengenakan persalinan baju Melayu teluk belanga aneka warna yang di beli di BMO Dagang Avenue, Ampang seminggu sebelum menjelang sambutan Aidilfitri.

Gambar tersebut dirakamkan ketika beraya di rumah saudaranya di Bandar Tun Razak, Cheras.

Zila Bakarin tidak menyangka idea spontan berbaju Melayu bersama keluarga di hari raya menjadi tular di media sosial.

Tambahnya lagi, sejak ia menjadi tular, dia turut menerima banyak reaksi peminat dan rakan-rakan artis yang rata-ratanya positif memberi komen.

"Setakat ini tiada komen menyakitkan hati yang saya terima daripada netizen sebaliknya mereka memuji keberanian kami mencari kelainan yang sekali gus mewarnakan lagi cerita raya pada tahun ini.

"Malah ada juga rakan-rakan artis secara berseloroh menyifatkan saya buang tabiat, tapi saya tau mereka mengusik dan tak ambil hati!" ujarnya ketawa kecil.

Dalam pada itu, Zila sendiri mengakui dalam koleksi pakaiannya, dia tiada baju kurung cantik yang 'meriah' bermanik selain hanya koleksi baju kurung Kedah berkain kapas.

"Sejujurnya itulah yang perlu saya akui malah sebelum ini pun, dalam almari memang sudah ada dua pasang baju Melayu teluk belanga yang saya sering pakai pada hari Jumaat dan kalau dilihat, ia tak nampak seperti baju Melayu pun apabila dipakai bersama kain. Macam baju kurung Kedah juga," katanya.

Mengenai perkembangan seninya, Zila kini sedang menjalani penggambaran drama 100 episod iaitu Dendam Aurora arahan Feroz Kader dan Rezza.

Drama adaptasi daripada telenovela Itali, Tuscan Passion turut menampilkan Nabila Huda dan Ungku Ismail Aziz sebagai pelakon utama.

Dendam Aurora akan ditayangkan pada penghujung Julai ini menerusi saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (123).

Zila Bakarin

Artikel Lain