PETALING JAYA: Tanda tanya apakah penyakit Mus (May) sehingga doktor terpaksa meletakkan dia dalam keadaan koma akhirnya diketahui selepas beberapa ujian dilakukan bagi mengenal pasti penyakitnya. Vokalis kumpulan May iaitu Mus berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang pada petang Rabu. Sepupu Mus iaitu iaitu Kay Hashim berkata, doktor mengesahkan Mus mengalami antibodi badan yang lemah dan kekurangan enzim dalam darah sehingga menyebabkan dia menjadi terlalu lemah. Tambahnya, penyanyi itu perlu menjalani rawatan plasma exchange bagi meningkatkan sel darah merah dalam badan. "Pakar sudah melakukan beberapa ujian darah dan disahkan Mus negatif denggi atau leptospirosis (kencing tikus). Sebaliknya kekurangan enzim dalam darah yang mungkin berpunca daripada keturunan. "Pihak hospital memberikan rawatan plasma exchange agar Mus dapat pulih sepenuhnya. Alhamdulillah, platlet darahnya juga sudah naik dari 8 ke 15," ujarnya kepada mStar Online. Mus (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan May. Kay bercakap bagi pihak Mus selepas isteri penyanyi itu, Suraya Bahari tidak dapat menjawab soalan wartawan kerana agak keletihan. Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 49, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin selepas mengalami demam panas. Penyanyi tersebut diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkannya berehat. Dia bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang pada petang Rabu. Dalam pada itu, Kay berkata, biarpun masih belum sedar, Mus sudah mampu memberi tindak balas positif. "Nampak keadaannya lebih baik dari semalam tapi masih belum sedar, cuma jika kita panggil dia akan bagi tindak balas dengan buka mata. "Namun, doktor kata, dia masih terlalu lemah dan tidak boleh berinteraksi lagi buat masa ini," ujarnya. Sementara itu, Suraya menerusi status Facebook miliknya meminta agar orang ramai yang datang melawat tidak mengambil gambar suaminya dalam keadaan terlantar itu. "Saya ucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan Mus, namun saya mohon jangan ambil gambar dia di ICU kerana saya sendiri pun tidak tergamak nak ambil gambar suami saya sendiri, harap semua faham," ujarnya.