suria

Kasihan Shukri Yahaya! Tengok Perempuan Dah Tak Boleh

Shukri bersama isteri tersayang, Tya Adnan. Foto Instagram @tyaadnan

ISU Shukri Yahaya terpalit dengan insiden kononnya menggoda seorang wanita di aplikasi Wechat baru-baru ini, membuka mulut bagaimana reaksi isterinya saat hal tersebut kecoh diperkatakan.

Shukri, 28, ketika ditemui memberitahu pada awalnya isterinya Tya Adnan tidak mengambil pusing hal itu apatah lagi ia belum pernah dilaluinya selama mereka bergelar suami-isteri.

Namun apabila ia terus mendapat liputan meluas dan menjadi tular di media sosial, tanpa sedar ia menyentuh hati wanita itu.

"Benar, pada awalnya isteri saya tak ambil kisah pun, sekadar bertanya sejauh mana kebenaran cerita itu dan apabila saya jelaskan ia tidak betul, dia faham. 

"Malah cerita ini saya tahu daripada mulutnya sendiri selain beberapa rakan rapat pada malam sebelum ia terus dibualkan pada keesokan harinya.

Shukri bersama isteri dan anak mereka iaitu Aaira Ameena yang berusia hampir setahun.

"Namun apabila isu ini terus tular, saya tau hati dia terusik. Yalah, isteri mana yang tidak terasa. Nasihatnya agar saya berhenti membuat apa-apa kenyataan selain jangan ambil kisah berhubung perkara tersebut, " katanya kepada mStar Online.

Shukri ditemui pada penggambaran drama 40 episod berjudul Villa Ghazara di Kajang pada Jumaat.

Pada Jun, seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Danielle mendakwa dirinya digoda aktor terbabit selain turut menyebar mesej perbualan mereka menerusi aplikasi WeChat.

Dalam pada itu, Shukri berkata atas dasar percaya dan hormat, isterinya Tya atau  Siti Nurfatihah Ahmad Adnan tidak pernah sibuk menyemak telefonnya biarpun pada ketika itu isu tersebut hangat.

"Dia tahu saya mangsa keadaan. Yalah, kalau tiada penggambaran, saya sering bersama dia dan anak-anak di rumah. Jadi bila masanya saya nak buat benda-benda seperti yang didakwa wanita itu," tegasnya.

Shukri Yahaya.

Di satu sisi kata Shukri, disebabkan kontroversi itu juga dia hampir-hampir menjadi trauma untuk mendekati atau melihat mana-mana perempuan yang berada di depan mata apatah lagi ketika bersama isteri.

"Sampai tahap tu tau! Saya jadi trauma nak tengok perempuan yang ada di depan saya tak kira sesiapa pun dia. Semua kerana saya tak nak hati isteri terusik lagi disebabkan fitnah itu.

"Saya langsung tidak mengenali wanita berkenaan dan apabila isu ini timbul, ia membuatkan saya turut rasa tertekan namun sentiasa cuba untuk jadi positif, " katanya.

Sementara itu, pelakon yang mula mendapat perhatian menerusi drama Andainya Takdir ini mengakui sudah membuat laporan polis menerusi peguam yang dilantik, dua hari selepas berita berkenaan tersebar.

Ia bertujuan bagi mempertahankan diri di samping menjaga nama baik keluarganya.

"Saya malas hendak memanjangkan isu ini. Namun seandainya perkara ini timbul semula, saya akan mengambil tindakan seterusnya terhadap individu terbabit, " akhirinya. 

Shukri Yahaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain