KITA sedia maklum dengan kontroversi membabitkan pelakon Aidil Aziz sebelum ini sehingga hampir membawa dirinya ke tali gantung kerana dituduh mengedar dadah jenis ganja dan memiliki senjata berbahaya. Bagaimanapun Aidil, 28, akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 pada Desember tahun lalu. Aidil ketika ditemui selepas hampir setengah tahun menyepikan diri dari dalam industri hiburan memberitahu, saat dirinya terpalit dengan kontroversi itu hanya satu perkara yang keluar dari mulutnya, "Habislah!" "Peristiwa hitam itu benar-benar memberi kesan psikologi pada diri saya sehingga saya fikir industri hiburan dah bersedia untuk cakap 'bye-bye' buat insan bernama Aidil Aziz. "Namun Allah itu maha adil di mana ketakutan itu diganti dengan rezeki yang tak pernah saya jangkakan. Aidil (duduk tiga dari kiri) bersama produksi drama 40 episod Vila Ghazara arahan Feroz Kader. "Alhamdulillah, hari ini saya masih diberi peluang untuk kembali mewarnai dunia senilakon tanah air," ujarnya ketika ditemui di set penggambaran drama 40 episod Vila Ghazara. Vila Ghazara arahan Feroz Kader merupakan drama pertama Aidil selepas namanya terpalit dengan kontroversi September tahun lalu. Selain Aidil, pelakon lain yang turut terlibat menerusi drama terbitan Excelent Pictures Sdn. Bhd ini ialah Shukri Yahaya Azira Shafinaz, Elly Mazlein, Mustapha Kamal, Syed Aiman dan Tunku Anis. Dalam pada itu, Aidil yang kini dilihat semakin ceria berkata kejadian tersebut banyak memberi pengajaran buat dirinya terutama dalam menilai aspek persahabatan. Malah kata Aidil, cukuplah dirinya kini menjaga hubungan baik dengan Allah (ibadah) dan keluarga. "Jujur saya katakan, kawan yang ada sekarang hanya boleh dikira jari dan kebanyakannya mula menghilang begitu sahaja selepas insiden itu. Sekiranya kelapangan, Aidil akan menghantar sendiri mangga asam boi Kingmangfera kepada pelanggannya. "Tidak mengapalah... yang ada sekarang adalah layak saya panggil sahabat dan setidak-tidaknya saya tahu siapa kawan, siapa lawan," ujarnya. Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Saiful Nita ini lagi, selama dirinya menyepi dia menjalankan perniagaan mangga asam boi yang dikenali sebagai Kingmangifera secara dalam talian.. "Alhamdulillah, Kingmangifera mendapat sambutan di luar jangkaan dari peminat dan saya mengambil inisiatif untuk menghantar sendiri pesanan yang dibuat pelanggan sekiranya ada kelapangan," katanya. Bagaimanapun kata Aidil, dia terpaksa menghentikan perniagaan buat sementara waktu kerana mula sibuk dengan penggambaran drama. "Saya rasa ini adalah waktunya untuk saya kembali berkarya dan drama Vila Ghazara boleh dikatakan sebagai drama comeback saya," akhirinya mesra.