suria

Emma Maembong Punca Ikatan Mawar Rashid & Raf Yaakob

Mawar dan Raf Yaakob bakal disatukan sebagai suami-isteri pada penghujung tahun ini. Foto Instagram @mawarrashid

ADA kisah tidak diketahui oleh peminat tentang percintaan pasangan Mawar Rashid dan Raf Yaakob yang membawa kepada ikatan pertunangan mereka pada Jumaat lalu.

Rupa-rupanya Mawar dan Raf diperkenalkan oleh pelakon Emma Maembong sekitar Januari lalu ketika mereka sama-sama menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran.

"Saya mengenali Raf di sebuah restoran yang turut ditemani oleh Emma dan rakan lain.

"Ketika itu, Emma menyuarakan hasrat untuk menemukan kami kerana Raf sudah dianggap seperti abang angkatnya.

"Sejak itu hubungan kami mula akrab sehiggalah membawa kepada ikatan pertunangan ini," katanya kepada mStar Online.

Raf dan Mawar melangsungkan pertunangan pada Jumaat lalu.

Mawar, 22, yang mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 dan Raf mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan pada Jumaat lalu.

Pasangan ini dijangka melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mawar berkata, dia sebenarnya tidak percaya kepada istilah jatuh cinta pandangan pertama namun ketika bertemu dengan Raf, dia mula merasai sendiri perasaan itu.

Kata Mawar, dia tertarik dengan Raf kerana aura unik dalam dirinya selain dia berjaya menambat hatinya pada pertemuan pertama itu.

"Hakikatnya saya ternyata salah kerana kali pertama bertemu Raf dia berjaya membuatkan hati saya berdebar tidak seperti kebiasaan.

Mawar bersama rakan baiknya, Emma Maembong.

"Saya dapat merasakan aura unik dalam diri Raf. Barangkali, ini disebabkan cara pembawaan dirinya yang agak berbeza berbanding orang lain," katanya.

Bercakap lanjut mengenai Raf, Mawar memberitahu, dia juga tertarik dengan tunangnya itu kerana yakin Raf dapat membimbingnya menuju syurga.

“Saya berasa kagum dengan pengetahuan agama Raf apatah lagi selepas melihat dia dan abangnya (Fazley) membaca talkin ketika arwah bapa mereka meninggal dunia," katanya.

"Raf seorang lelaki penyayang, bertanggungjawab, berkarisma tinggi, berpendidikan, rendah diri, sopan tutur kata, menyukai keluarga dan boleh membimbingnya di dunia dan akhirat.

Artikel Lain