APA pula kes ni? Bekas suami perkahwinan pertama Rita Rudaini iaitu Akbar Sahari dikatakan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan aktres itu. Akbar yang juga pengulas sukan Astro Arena bagaimanapun berkata, artikel di sebuah blog hiburan pada Ahad lalu itu berunsur fitnah sehingga boleh menjejaskan reputasinya. "Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebuah blog hiburan yang menggambarkan seolah-olah saya dan bekas isteri saya sudah berbaik dan kembali menjalinkan hubungan mesra. "Biarpun tidak menjelaskan secara terperinci, namun tajuk artikel yang dimuat naik itu jelas mengelirukan dan berunsur fitnah," ujarnya kepada mStar Online pada Selasa. Akbar menjelaskan mengenai artikel kononnya dia menjalinkan hubungan mesra dengan pelakon Rita Rudaini seperti disiarkan di sebuah blog beserta foto-foto peribadi termasuk ahli keluarganya tanpa kebenaran. Akhbar mendirikan rumah tangga dengan Noorsuzilawati Mohd Noor pada 14 Mei 2005 dan dikurniakan tiga cahaya mata. Akbar bersama isteri dan tiga cahaya matanya. Dia turut menyifatkan laporan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Akbar berkata, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada Isnin. "Perkara ini telah menjejaskan maruah dan reputasi saya di mata masyarakat. Ia turut memberi kesan yang mendalam terhadap saya dan keluarga. "Saya memohon agar artikel berkenaan ditarik balik dalam tempoh 48 jam serta pihak berkenaan membuat permohonan maaf bagi menggelakkan kekeliruan masyarakat," ujarnya. Akbar minta blog hiburan padam artikel yang menimbulkan fitnah. Dalam perkembangan berkaitan Rita Rudaini turut memberi amaran kepada penulis blog berkenaan agar menarik semula penyebaran berita fitnah itu dalam masa 24 jam. Rita juga menuntut pihak berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan saman dilakukan. "Saya bagi masa dalam 24 jam. Kalau tak mohon maaf secara terbuka kepada saya dan family, saya akan saman. Bukan susah nak cari siapa di sebalik blog ini. Saya tak suka cakap banyak dan tak suka maki hamun orang tapi saya seorang wanita yang berani," katanya. Rita Rudaini pernah mendirikan rumah tangga dengan Akbar pada 1999 dan mengambil keputusan berpisah pada 2001. Rita kemudian berkahwin dengan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 dan berpisah pada 2013. Untuk perkahwinan kedua itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.