suria

Peminat Lari Rumah Jumpa A Rahman Hassan

A Rahman Hassan pernah bekerja di pejabat pos dengan gaji RM130 sebulan.

CEMAS! Namun tetap dilayan sebagai tetamu istimewa selama tiga bulan.

Itu antara pengalaman yang dilalui penyanyi veteran irama Pop Yeh Yeh Datuk A Rahman Hassan tatkala mengimbau kembali kenangan bersama peminat ketika di zaman kegemilangan sekitar era 1970-an dahulu.

Melihat itu antara pengalaman yang tidak akan dilupakan selama bergelar anak seni, A Rahman, 71, terbuka berkongsi cerita.

"Siapa yang tak tergamam apabila tiba-tiba dua peminat memaklumkan nekad lari daripada rumah semata-mata nak berjumpa saya.

"Dan percaya atau tidak, kedua-duanya menginap di rumah saya selama tiga bulan dengan layanan yang cukup baik daripada bapa dan keluarga saya pada ketika itu," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah A Rahman, dek kerana menginap dalam tempoh yang agak lama, kedua-duanya sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri.

Malah pada ketika itu ada pihak media dan kenalan mula bertanyakan perihal itu, namun untuk tidak mengeruhkan keadaan mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan cerita sebenar.

Sehinggalah pada suatu hari keluarga bekas penyanyi kumpulan Orkes Nirwana ini didatangi ibu kepada kedua-dua peminat tersebut.

"Risau dan cuak juga pada awalnya bimbang dimarahi tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Dalam kunjungan mengejut itu mereka membawa bekalan makanan dari kampung seperti ubi sebagai buah tangan dan kami menjamu selera bersama-sama," ujarnya tersenyum.

Antara artis yang akan memeroahkan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh pada 4 dan 5 Ogos depan di Panggung Bangsawan Melaka.

Bagaimanapun kata penyanyi lagu Syurga Idaman ini lagi, sehingga hari ini antara mereka sudah tidak lagi berhubung dan dipercayai peminat tersebut berasal dari Batu Pahat, Johor.

A Rahman berkahwin dengan anggota kumpulan Orkes Nirwana iaitu Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 26 April 2013.

Pada 25 Disember 2014, dia berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor.

Dalam pada itu, A Rahman turut memberitahu sebelum menceburi bidang seni secara komersil, dia pernah bekerja  selama setahun di sebuah pejabat pos di negeri Johor dengan bantuan bapa saudaranya.

"Dengan gaji pertama sebanyak RM130, saya pergi ke Singapura dan membeli amplifier jenama Gibson secara hutang.

"Dan dengan benda itulah membawa saya ke lapangan muzik secara komersil," katanya yang meminati muzik sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Berkongsi perkembangan seni terbarunya, A.Rahman antara artis yang terlibat menerusi 'Konsert Gegar Pop Yeh Yeh' yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Ogos depan di Panggung Bangsawan Melaka (PBM).

Konsert dengan kerjasama Istana Budaya dan Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) antara lainnya turut disertai beberapa artis lain antaranya L Ramli, Jeffrydin, J Sham, Maria Bachok, A Rozaini dan penyanyi remaja popular Aiman Tino.

A Rahman Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain