suria

“Jangan Keruhkan Hubungan Kami” - Anak Saleem

Syafiq Farhain (kanan) akui hubungan dia dan bapanya baik.

ANAK kepada penyanyi Saleem, Syafiq Farhain menjelaskan hubungannya dengan penyanyi kumpulan Iklim itu baik dan tidak seperti digambarkan dalam satu video temubual media yang tular baru-baru ini.

Malah, Syafiq, 23, meminta agar pihak tertentu tidak mengeruhkan keadaan yang boleh merosakkan hubungan mereka anak-beranak.

"Saya dengan ayah saya baik-baik sahaja. Orang luar nak cakap apa pun tentang hubungan kami cakaplah, saya tidak kisah.

"Saya maafkan orang yang buat fitnah dan komen-komen negatif tentang saya dan keluarga kerana mereka tidak kenal kami. Tapi kalau nak kutuk atau hina biarlah saya sahaja, janganlah hina bapa saya," ujarnya kepada mStar Online.


Syafiq memuat naik gambar bersama bapanya baru-baru ini.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim mengulas tentang laporan rakaman video disiarkan sebuah portal akhbar mengenai hubungan dingin antara dia dan bapanya yang masih belum selesai.

Dalam rakaman itu Saleem berkata, terdapat perselisihan faham yang membuatkan dia masih lagi terasa hati dengan anak lelakinya itu.

Malah, menerusi laporan berita itu lagi, Saleem mempersoalkan tindakan Syafiq menggunakan namanya sebagai jalan singkat untuk dikenali sebagai penyanyi.

Syafiq yang enggan mengulas panjang tentang perkara itu, berkata, dia sudah bertemu dengan bapanya di hospital baru-baru ini.

"Saya ada jumpa ayah di hospital baru-baru ini dan dia beri nasihat agar fokus jika benar-benar ingin jadi penyanyi," katanya.

Syafiq merupakan anak daripada perkahwinan pertama Saleem dengan Juwita sekitar 20 tahun lalu.

Mengulas tentang penggunaan nama Saleem, Syafiq berkata, dia tidak mahu lagi dikenali sebagai Syafiq Saleem sebaliknya menggunakan nama sendiri iaitu Syafiq Farhain.

Bagaimanapun katanya, dia juga tidak dapat lari jika ada yang tetap mengaitkan dirinya dengan penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu.

"Saya guna nama sendiri tapi saya tidak boleh nafikan jika ada yang masih kaitkan saya dengan ayah.

"Saya akui pada awal dulu memang ramai kenali saya sebab anak Saleem tapi saya juga ada usaha untuk berdiri sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, single pertama Syafiq berjudul Sayang Maafkan Aku menerima sambutan menggalakkan apabila lirik video mencecah lebih satu juta tontonan dalam masa dua minggu dimuat naik.

Katanya, ia merupakan satu pencapaian yang mengejutkan dan berharap dirinya akan terus diterima sebagai penyanyi.

"Terkejut juga bila ramai yang tonton video lirik tu. Mungkin sebab saya pernah jadi tular dan orang ramai ingin tahu perkembangan terbaru," ujarnya.

Syafiq yang sebelum ini bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba & Penyelamat, Tebrau Johor Bahru berkata, dia kini sudah dipindahkan ke Putrajaya dua bulan lalu.

Katanya, buat masa ini, dia belum merancang untuk berhenti daripada kerjaya tersebut bagi mencuba nasib sebagai penyanyi.

Lagu Sayang Maafkan Aku merupakan hasil ciptaan Harry Khalifah.

Saleem Iklim, Syafiq Farhain