"KALAU boleh tahun ini saya nak ada teman lelaki," kata penyanyi Dayang Nurfaizah apabila ditanya mengenai impian sempena usianya yang bakal memasuki 36 tahun pada 20 Julai ini. Dayang atau nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, sehingga kini tidak ada lelaki yang sudi mendekati atau mahu berkenalan dengannya. Menurut penyanyi lagu Lelaki Teragung ini, dia juga seperti orang lain yang mahu berkahwin dan hidup berkeluarga seperti orang lain. "Ye laa. Siapa yang tidak mahu ada teman lelaki dan berkahwin. Tambahan pula, umur saya dah memasuki 36 tahun. Memang dah patut ada seseorang. "Tapi nak buat macam mana, tak ada lelaki yang datang dekati atau cuba nak berkenalan dengan saya. Kejutan hari lahir Dayang diadakan di rumah terbuka Indigital di Restoran D' Empangan Udang Galah, Putrajaya pada Selasa "Seronok juga tengok orang di sekeliling saya dah ada keluarga mereka sendiri. Adik saya pun dah kahwin tahun lalu," kata Dayang kepada mStar Online. Tambah Dayang lagi, dia meminta agar mana-mana lelaki yang mahu mendampinginya agar tidak berasa takut hanya kerana dia seorang selebriti. "Janganlah takut nak kenal dengan saya. Bukannya Saya nak makan orang pun! Mungkin ada yang melihat saya seorang selebriti yang susah untuk didekati. "Tapi yang sebenarnya saya sama juga seperti wanita-wanita lain," ujarnya. Majlis sambutan ulang tahun kelahiran Dayang diadakan lebih awal iaitu pada Selasa lalu yang dianjurkan oleh syarikat pengursannya, Indigial.