suria

Neelofa Hadir Kursus Anjuran PBB Di New York

Neelofa akan berada di tiga buah negara dalam masa tiga bulan.

PENGACARA Neelofa memberitahu bahawa jadualnya sehingga Oktober depan sudah penuh dan dia akan berada di enam lokasi berbeza di luar negara selama tiga bulan.

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 28, berkata antara acara paling penting ialah dia dapat menyertai program persidangan belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

"Saya akan ke New York dan Washinton pada awal bulan Ogos depan bagi menyertai program Youth Assembly At United Nation.

"Kursus tersebut mengambil masa selama 16 hari dan hanya boleh disertai oleh individu yang berusia 28 tahun ke bawah sahaja.

Neelofa salah seorang selebriti Malaysia yang berjaya di usia muda. 

"Tapi saya akan datang awal untuk persiapan. Kiranya, saya akan berada di sana lebih kurang 20 hari," kata Neelofa. 

Neelofa ditemui di majlis Jom Raya Putrajaya yang diadakan di Menara PJH, Putrajaya pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Neelofa bakal terbang ke Manila, Filipina pada Isnin ini untuk menjadi salah seorang panel program Breaking The Era of Women Stereotype anjuran Forbes Asia Summit.

"Saya akan menjadi salah seorang panel untuk berkongsi pandangan yang menyentuh topik wanita masa kini yang lebih berinspirasi dan bekerjaya hebat.

"Slelepas itu, saya akan sambung penggambaran drama Red Velvet selama tiga hari dan kemudian ke Los Angeles pada hujung bulan ini bagi menghadiri sesi fotografi khas jenama Swarovski selama empat hari," ujarnya.

Tambah Neelofa lagi, sebaik sahaja pulang dari Amerika Syarikat dia akan menghadiri minggu fesyen istimewa Swarovski di Milan.

Malah, kedatangan dia ke kota fesyen itu juga mempunyai tujuan lain.

Bagaimanapun, dia enggan berkongsi lebih lanjut kerana ingin merahsiakan perkara tersebut. 

"Pada 18 September, saya akan menghadiri minggu fesyen istimewa Swarovski di Milan. Tapi ada perkara lain juga yang saya akan lakukan di sana cuma buat masa ini ada perkara yang perlu dirahsiakan untuk dijadikan sebagai kejutan.

"Manakala bulan Oktober, saya ke Boston untuk menjalani program istimewa bersama majalah antarabangsa Forbes. Selepas itu, barulah saya akan berehat semula daripada kerja," kata Neelofa.

Dalam pada itu, selain berjaya dalam bidang seni dan perniagaan, Neelofa kini lebih cenderung untuk melakukan pelaburan dalam bidang hartanah. 

Malah, dia juga mempunyai beberapa buah rumah daripada hasil usahanya. 

"Alhamdulillah, kini saya sudah memiliki beberapa buah rumah hasil daripada titik peluh sendiri. Saya lebih memilih untuk melaburkan duit pada hartanah untuk masa hadapan.

"Ayah saya yang banyak membantu dalam pelaburan tersebut kerana dia juga minat dalam bidang tersebut," katanya.

Neelofa telah dilantik sebagai duta untuk projek hartanah milik Putrajaya Homes yang diberi nama Duta Villa.

Neelofa

Artikel Lain