PENYANYI kelahiran program realiti Mentor Legend iaitu Sarah Fazny memberitahu dia pernah disuruh oleh pihak-pihak tertentu untuk sengaja mencipta gosip dan kontroversi panas agar lebih cepat menonjol dan dikenali. Sarah, 22, berkata, dia terpaksa menolak saranan itu dengan baik kerana masih berpegang kepada prinsip mahu dikenali kerana bakat yang ada. "Waras lagi kot nak buat semua tu (ketawa). Memang ada yang suruh tapi saya rasa biarlah saya dikenali dengan bakat daripada sengaja mencipta cerita bukan-bukan untuk dikenali. "Seperkara tentang hal itu saya percaya jika seseorang artis naik kerana kontroversi memang pantas dikenali, tetapi selalunya tidak lama. Justeru biar lambat naik, tapi konsisten dalam industri," ujarnya kepada mStar Online. Pun begitu kata wanita yang mempunyai 15 beradik ini lagi, perkara tersebut terpulang kepada individu atau artis itu sendiri bagaimana untuk merencana perjalanan kerjaya seni mereka. Sarah Fazny akui bukan waktunya untuk dia terlalu selektif menerima sebarang tawaran. Di satu sisi, pelantun lagu Urusan Hati ini memberitahu sekalipun dirinya agak kurang mendapat pendedahan dan publisiti media, dia masih boleh bersyukur kerana tawaran persembahan pentas sentiasa ada. Malah sikapnya yang tidak terlalu selektif pada satu-satu tawaran diakui memberi 'keuntungan' tersendiri buat dirinya. "Sekarang ni bukan waktunya nak terlalu memilih. Saya ambil apa sahaja peluang termasuk tawaran berlakon, itupun kalau ada. "Oh ya, sebut pasal berlakon ni saya tak tahu kenapa ramai diluar sana ingat saya ni seorang pelakon? Atau wajah saya ada iras mana-mana pelakon yang mungkin saya tak perasan?" soalnya dengan ketawa kecil. Dalam perkembangan kerjaya seninya pula, kata artis yang diuruskan oleh pihak Indigital Music ini lagi, dia kini dalam proses mencari material untuk persiapan single ketiganya. Dan apa yang lebih menarik, berkemungkinan single tersebut akan mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer Tam (Spider). "Baru-baru ini kami ada berbincang tentang projek single ini di mana abang Tam masih mencari direction suara saya ke arah lagu yang macam mana. Kalau ikutkan saya, memang gemarkan lagu-lagu berentak balada," akhirnya mesra.