BEKAS peserta Idola Kecil musim pertama, Afieqn Shazwan ada menyimpan perasaan cemburu terhadap rakan baiknya yang juga penyanyi Haqiem Rusli. Afieq atau nama sebenar Shafieq Shazwan Zamrus, 20, berkata cemburu itu bukan berbentuk hasad dengki tetapi lebih kepada ingin berjaya sepertinya. "Memang tidak dinafikan saya ada simpan perasaan cemburu bila melihat Haqiem lebih berjaya sekarang ini. Tapi tidaklah sehingga saya dengki dengan dia atau cemburu yang negatif. "Lebih kepada saya mahu menjadi seperti dia. Walaupun kami sama-sama lahir daripada program yang sama tapi mungkin rezeki nyanyian Haqiem lebih ke depan berbanding saya. "Tapi saya tak kisah sangat sebab dah nama pun rezeki masing-masing. Buat masa ini pun, saya fokus pada bidang lakonan terlebih dahulu," kata Afieq kepada mStar Online. Afieq menjadi pelakon utama dalam muzik video SetiaKu Pasti oleh Fara Hazel bergambar bersama krew produksi dan Aiman Tino. Dalam pada itu, Afieq memberitahu dia tidak kisah jika masih ada yang belum menyedari kehadirannya dalam industri seni biarpun sudah sembilan tahun menceburi bidang tersebut. "Mungkin masih ada yang tak kenal saya tapi bila lihat gambar masa saya kecil, mereka baru teringat siapa saya. Tapi tak mengapa sebab perjalanan karier saya masih panjang. "Lagipun saya pun sibuk dengan pelajaran dan dalam waktu yang sama masih menerima tawaran berlakon. Insya-Allah saya yakin setiap orang ada rezeki masing-masing," ujarnya. Drama terbaru lakonan Afieq iaitu Miss Kapten Cikgu Waiz sedang di tayangkan di slot lestary TV3 setiap hari Rabu hingga Jumaat pada pukul 9.00 malam. Afieq sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Perniaagaan dan Pengurusan di Management and Science University (MSU), Shah Alam.