BAYARAN mahal tapi tiada kualiti, itulah pendapat pelakon Nabila Huda terhadap lambakkan pelakon-pelakon baharu yang muncul bagaikan cendawan tumbuh. Nabila, 33, berkata, perkara itu membuatkan kebanyakkan mereka gagal untuk bertahan lama dalam industri. "Sekarang ramai pelakon baru yang hanya kejar populariti dan letak harga yang tidak sama dengan kualiti lakonan mereka. "Kadang-kadang ada juga saya tertonton drama Melayu kerana anak saya peminat drama Melayu, namun saya jadi tertekan melihat lakonan mereka," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Nabila, ketika awal kemunculannya sekitar 16 tahun lalu, dia hanya menerima harga RM600 yang dianggap bersesuaian dengan tahap lakonannya. Jelas pelakon filem Munafik ini, sehingga kini juga, dia tidak terlalu berkira dan percaya bayaran yang ditawarkan oleh setiap produksi adalah mengikut bakat yang ada dalam dirinya. Nabila Huda "Dulu masa saya mula dalam bidang ini drama pertama Blok 404 saya terima bayaran RM600 sahaja, itu sudah termasuk promosi seluruh negara. Tapi lama kelamaan harga itu akan meningkat mengikut kualiti kerja kita. "Bayaran adalah soal kedua. Insya-Allah akan meningkat mengikut tahap kualiti kita," ujarnya. Dalam pada itu, ditanya adakah dia menolak jika diberi peluang berlakon dengan pelakon baharu, aktres ini berkata, dia sentiasa bersikap terbuka. Bagaimanapun, dia bersyukur, sehingga kini dia sering diberi kepercayaan dan digandingkan dengan pelakon yang berbakat. "Saya terbuka sahaja jika berlakon dengan pelakon-pelakon baru tapi mereka terbuka ke untuk bergandingan dengan saya?. "Alhamdulillah, setakat ini semua yang digandingkan dengan saya adalah yang berbakat dan berpengalaman," ujarnya. Sementara itu, bercakap tentang Blok 404 yang bakal difilemkan, Nabila berkata, dia tidak dapat menyertai projek berkenaan berikutan komitmen menjayakan drama Dendam Aurora selama 100 episod. "Saya tidak berlakon dalam drama itu bukan sebab tawaran mereka rendah, tetapi sudah terikat dengan penggambaran drama sebanyak 100 episod. "Saya jenis pelakon yang tidak suka terkejar-kejar dalam satu masa yang akan menyusahkan mana-mana pihak," ujarnya. Dendam Aurora mula bersiaran pada Isnin hingga Jumaat bermula 25 Julai, pada pukul 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.