KONTROVERSI yang melibatkan penyanyi Sufi Rashid dan bekas pengurusnya, Arif Dollah sekali lagi menjadi bualan di media sosial selepas kisah lama mereka kembali tular di media sosial. Menyedari namanya menjadi sebutan, Arif atau atau nama sebenar Muhammad Arif Dollah, 32, meminta penyanyi itu tidak lagi mencipta kontroversi lain. "Sudahlah buat tuduhan kepada saya. Jangan nak ungkit kisah lama. Gunalah cara lain untuk naikkan nama sendiri. Kes tersebut pun dah tutup dua tahun lalu sebab tak ada bukti yang mengatakan saya melakukan perbuatan tidak baik terhadapnya. "Saya tak kisah apa yang dia buat, tapi saya nak dia berhenti kaitkan saya dalam mana-mana kontroversi dia lagi," tegas Arif yang hadir ke studio mStar Online di Petaling Jaya pada Selasa. Menerusi temu bual video Sufi yang disiarkan oleh satu akaun Facebook di Singapura, penyanyi kelahiran negara itu mengungkit kembali kisah dirinya mengalami gangguan seksual dilakukan individu yang dianggapnya seperti abang sendiri. Arif Dollah "Ia Kisah Hidup Saya Dari Kecil" - Sufi Sementara itu, Sufi ketika dihubungi mStar Online menafikan bahawa dia sengaja membangkitkan semula kisah tersebut hanya kerana mahukan populariti. Sufi atau nama sebenar Muhammad Sufi Rashid, 26, berkata video tersebut mengisahkan di sebalik kehidupannya sejak kecil sehingga kini selain untuk dijadikan sebagai inspirasi kepada peminatnya. "Tujuan video tersebut menceritakan kisah kehidupan saya sejak dari kecil sehinggalah kini. Bukanlah semata-mata nak bangkitkan isu itu semula sebab nak menaikkan nama saya. "Ada banyak lagi kisah yang saya kongsikan dalam temu bual tersebut untuk dijadikan motivasi kepada peminat. Sebenarnya video itu panjang dan telah dipecahkan kepada tiga bahagian yang berbeza," kata Sufi. Tambahnya lagi, dia tidak pernah nak mencari atau mencipta kontroversi namun ia telah datang dengan sendiri. "Saya tak pernah cari kontroversi seperti yang diperkatakan. Malah, ia bukan salah saya sebab semuanya datang dengan sendiri," ujarnya.