suria

Hans Isaac Jawab Khabar Angin Putus Tunang

Hans Isaac dan Gabrielle Robinson sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 29 Julai lalu.

PETALING JAYA: Produser filem dan pelakon Datuk Hans Isaac menolak khabar angin pertunangannya dengan model Gabrielle Robinson sudah berakhir.

Hans, 46, berkata, dia terkejut dengan perkara itu selepas menerima mesej daripada pihak media yang ingin mengetahui perkembangan status pertunangannya.

"Saya terkejut dengan mesej WhatsApp dan missed call daripada media hari ini yang bertanyakan tentang perkara ini.

"Kami masih bersama, saya sudah minta Gabby (Gabrielle) untuk beri kenyataan kepada media dalam masa terdekat, maaf saya sibuk dengan mesyuarat," ujarnya dalam satu kiriman mesej kepada mStar Online.

Hans diminta mengulas khabar angin dia dan tunangnya sudah berpisah selepas kedua-dua mereka menghapuskan gambar-gambar bersama di Instagram sejak beberapa hari lalu.

Gabrielle dan Hans mengikat tali pertunangan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Gabrielle menerusi aplikasi WhatsApp menjelaskan bahawa akaun Instagram tersebut adalah atas urusan kerja semata-mata.

Tambahnya, dia telah membuka sebuah akaun peribadi baharu untuk keluarga dan rakan-rakan terdekat.

"Saya ambil keputusan untuk bukan akaun peribadi baharu untuk keluarga dan rakan-rakan. Akaun lama hanya untuk tujuan kerja sahaja.

"Saya perlu mengasingkan urusan kerja dengan peribadi," ujarnya.

Pasangan itu  bertunang pada 29 Januari lalu di gereja Cathedral of the Good Shepherd di Singapura.

Mereka yang sepatutnya berkahwin pada 29 Julai lepas menunda kepada satu tarikh lain atas alasan tidak dinyatakan.

Hans Isaac, Gabrielle Robinson

Artikel Sebelum

Artikel Lain