suria

“Bade Lelaki Terbaik Dalam Hidup Saya” - Erma Fatima

Erma Fatima.

PENGARAH dan pelakon Erma Fatima tidak mahu mengenang kisah lalu dan ingin membuka lembaran baharu selepas berpisah dengan suaminya, Bade Azmi pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, berkata hubungan dia dan Bade masih lagi baik.

"Pada 17 Ogos saya dah tutup buku lama dan 18 Ogos buka buku baru. Jadi saya tak nak cerita tentang buku yang lepas.

"Hubungan saya dan dia masih baik, dia masih balik. Saya tak ada masalah dengan dia dan kami tidak pernah bergaduh.

"Biarpun kami sudah berpisah, dia tetap menjadi lelaki terbaik dalam hidup saya. Cumanya, jodoh kami sampai disini sahaja," kata Erma kepada mStar Online.

Erma ditemui ketika majlis pelancaran Malaysia Fashion & Business Mission To New York di Charms Cafe, Sunway Pyramid pada Selasa.

Bade melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang.

Dalam pada itu, Erma memberitahu bahawa anak-anaknya ada bertanya tentang perihal perceraiannya dan dia sudah menjelaskan perkara yang sebenar.

"Mestilah mereka tahu, itukan ayahnya. Setiap anak akan bertanya. Mungkin mereka sudah memahami saya.

"Bila saya katakan sesuatu, mereka harus menerimanya. Saya selalu pesan pada anak-anak, jika awak sayangkan seseorang, awak perlu melepaskannya," ujarnya.

Selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya Bade telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya pada 17 Ogos lalu.

Mereka mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24, Ahmad Arir, 22, Ahmad Aifin, 20, Citra, 15, dan Nurain, 11.

Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang dan  dikurniakan dua cahaya mata.

Pada tahun 2015, Erma pernah memfailkan perceraian namun menarik balik permohonan tersebut selepas kedua-duanya mengaku masih saling sayang menyayangi.

Artikel Lain