suria

Siti Nurhaliza Minta Nana Jangan Peduli Kritikan Netizen

Siti Nurhaliza memuji persembahan Siti Nordiana menerusi dua buah lagunya iaitu Cindai dan Lebih Indah dan meminta penyanyi itu tidak mempedulikan kata-kata negatif dilemparkan oleh netizen.

KRITIKAN pedas yang dilemparkan netizen terhadap Siti Nordiana yang menyampaikan dua buah lagu milik Datuk Siti Nurhaliza pada malam penutup Sukan SEA 2017 (SEA2017) malam Rabu lalu mendapat perhatian penyanyi tersohor itu.

Siti menerusi kenyataan kepada mStar Online meminta agar Siti Nordiana atau Nana tidak mempedulikan kata-kata negatif dilemparkan oleh netizen kerana baginya penyanyi itu telah memberikan persembahan yang terbaik menerusi lagu Cindai dan Lebih Indah miliknya.

"Saya memuji usaha Nana menyampaikan dua buah lagu saya sewaktu acara penutup Sukan SEA pada malam Rabu lalu.

"Saya berharap agar Nana tidak mempedulikan apa yang dikatakan netizen kerana saya yakin, Nana sudah melakukan yang terbaik.

"Jika kita mahu mendengar kecaman dan kata-kata netizen, kita akan lemah dan terus lemah dan saya memahami tanggungjawab yang digalas oleh Nana dan saya berterima kasih kepada beliau," katanya.

Nana dikritik oleh netizen yang menyifatkan dia tidak sesuai menyanyikan lagu milik Siti malah nyanyiannya pada malam itu tidak mencapai standard yang sepatutnya.

Persembahan Nana dikritik hebat oleh netizen.

Bekas juara program Gegar Vaganza itu bagaimanapun dalam satu kenyataan sebelum persembahan memohon maaf kepada peminat Siti sekiranya persembahannya tidak menepati citarasa mereka dan cuba menyampaikan dengan gayanya tersendiri.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia juga ada meminta kelab peminatnya Sitizone agar memberikan sokongan dan semangat kepada Nana malah mereka memberikan sokongan kepadanya.

"Saya sendiri di dalam laman Sitizone juga mengajak para peminat saya memberikan sokongan dan semangat kepada Nana.

"Mereka juga berterima kasih kepada Nana kerana sudi menyanyikan lagu Cindai dan Lebih Indah," ujarnya.

Malah kata Siti, dia juga ada mengirimkan kata-kata semangat kepada Nana di Instagram sebelum acara penutup itu berlangsung.

"Saya tidak ada masalah mengenainya kerana saya yakin pasti ada kelebihan pada Nana dan penganjur atau pengarah muzik memilih beliau untuk menyampaikan lagu-lagu saya.

"Apabila beliau bersetuju dan bersedia menyanyikan lagu saya, beliau sudah menunaikan yang terbaik dari diri Nana," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain