suria

Kakak Aiman Tino, Fara Hezel Mula Diusik

Fara Hezel kini sibuk mempromosikan lagu Setiaku Pasti. Foto Instagram: @official_farahezel.

KAKAK kepada penyanyi Aiman Tino iaitu Fara Hezel mendedahkan ada peminat lelaki yang berani menguratnya di laman sosial.

Menurut Farah atau nama sebenar Nurfaraazira Yusri, 21, dia menerima beberapa mesej peribadi daripada orang tidak dikenali yang menyatakan hasrat ingin menjadikan dia teman wanita.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Setiaku Pasti ini hanya menganggap ia sebagai usikan daripada peminat semata-mata.

"Semenjak lagu saya semakin popular, ada yang hantar mesej peribadi hendak berkenalan di Facebook dan Instagram.

"Saya tak ambil serius tentang hal ini dan menganggap mungkin peminat sekadar nak usik-usik sahaja.

"Kebiasaannya, saya membalas mesej tersebut dengan cara baik dan berterima kasih kepada mereka kerana menyokong karier nyanyian saya selama ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Fara anggap peminat hanya bergurau dan mengusiknya sahaja. 

Dalam pada itu, pelajar tahun akhir jurusan Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak ini turut meminta pandangan adiknya mengenai hal berkaitan nyanyian.

Jelasnya, meskipun usia Aiman lebih muda, namun dia seorang yang sangat matang dalam melontarkan pandangan.

"Dalam industri ini, dia lebih berpengalaman daripada saya dan kami sering berkongsi pendapat dan idea.

"Sebagai adik-beradik, kami sentiasa menyokong antara satu sama lain dan tiada istilah cemburu," katanya.

Sementara itu, Fara memaklumkan kesihatan ibunya, Hazelina Mat Jalil, 41, semakin pulih selepas mengalami keguguran pada usia kandungan lima bulan tiga hari lalu.

Fara berkata, ibu sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di Hospital Selayang.

"Masa kejadian itu, saya terkejut tengok keadaan ibu dan segera mendapatkan bantuan, malah saya turut menemani ibu ke hospital menaiki ambulans.

"Jika kandungan panjang umur, dia adik kesebelas dalam keluarga dan kami percaya Allah SWT akan berikan rezeki yang lain sebagai ganti kehilangan ini,” katanya.

Fara Hezel, Aiman Tino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain