DEMI mengejar cita-cita bergelar selebriti, penyanyi dan pelakon Nabila Razali membuat keputusan menangguhkan pengajian di peringkat ijazah sarjana. Menurut Nabila, 25, dia berbuat demikian kerana mahu fokus dengan karier seni yang semakin berkembang. "Buat masa ini saya menerima banyak tawaran lakonan serta nyanyian dan rasa rugi jika melepaskan peluang yang ada. "Jadi, saya memilih untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya terlebih dahulu dan mungkin akan menyambung semula pengajian tahun depan. "Keluarga juga menyokong keputusan ini dan mereka tidak kisah jika saya fokus dengan karier seni," katanya kepada mStar Online. Nabila akan menyambung semula pengajian tahun depan. Nabila merupakan pelajar ijazah sarjana dalam jurusan seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sementara itu, penyanyi lagu Pematah Hati ini memaklumkan dia berhasrat untuk menjadi seorang pensyarah selepas menamatkan pengajian. Ujarnya, pendidikan itu merupakan satu keutamaan dan berharap dapat menabur bakti kepada anak bangsa. "Bagi saya, sebagai selebriti kita juga perlu menuntut ilmu, malah usia bukan penghalang untuk kita mencapai kejayaan. "Selepas menamatkan pengajian kelak, saya ingin menjadi seorang pendidik," katanya. Dalam perkembangan lain, Nabila membawa watak utama dalam drama Matahari Terang Lagi yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Drama 26 episod itu bakal bersiaran di RTM.